Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

SEPANG: Sebarang perbezaan pandangan berhubung isu yang mempertikaikan pembabitan wanita dalam jihad perlu dirujuk kepada pihak berautoriti agama termasuk Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan bagi memastikan penjelasan yang tepat dan berlandaskan hukum syarak. 

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan, berkata pelbagai pandangan boleh timbul dalam masyarakat mengenai perkara itu, namun penyelesaian terbaik adalah melalui pandangan institusi agama yang mempunyai kepakaran dalam bidang berkenaan.

Pendekatan itu penting bagi memastikan keharmonian masyarakat terus terpelihara serta mengelakkan kekeliruan dalam kalangan umat Islam. 

“Dalam hal ini ada pelbagai pandangan diberikan. Kita rujuk kepada pihak autoriti, pihak Jabatan Mufti Wilayah.

“Apabila berada dalam perbezaan pandangan ini, sudah pasti ada yang akan mendamaikannya dan melihat dari kaca mata yang secara umum,” katanya kepada media selepas Majlis Pelepasan Pasukan Awal Petugas Haji, di sini hari ini. 

Beliau mengulas tindakan warganet mempertikai penyertaan beberapa selebriti tanah air, yang menyertai misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla 2.0.

Keselamatan jemaah haji dipantau rapi

Dalam perkembangan berkaitan, Zulkifli berkata, keselamatan petugas dan jemaah haji Malaysia sentiasa menjadi keutamaan kerajaan, khususnya dalam menghadapi sebarang kemungkinan susulan perkembangan geopolitik di Asia Barat.

Beliau berkata, Lembaga Tabung Haji (TH) telah menubuhkan jawatankuasa khas bagi memantau perkembangan semasa serta menyelaras tindakan segera sekiranya timbul sebarang situasi kecemasan membabitkan jemaah. 

Langkah kesiapsiagaan itu turut merangkumi pelaksanaan perancangan senario menyeluruh yang telah disusun lebih awal bagi menghadapi pelbagai kemungkinan sepanjang musim haji. 

“TH sudah menubuhkan jawatankuasa khas, dan kita memantau dari semasa ke semasa …,” katanya. 

Zulkifli berkata kerajaan yakin dengan keupayaan dan pengalaman jentera TH dalam mengurus operasi haji, sekali gus mampu memastikan kebajikan 31,600 jemaah haji Malaysia sentiasa terpelihara walaupun berdepan cabaran tidak dijangka.

“Apa pun, kita yakin bahawa dengan keseluruhan jentera yang kita ada, dan juga dengan kemampuan yang ada pada TH, insya-Allah kita akan dapat menyantuni dan mendepani setiap cabaran yang mungkin berlaku. Kita doakan semoga semuanya berjalan dengan baik,” katanya. 

Musim Haji 1447H/2026M akan membabitkan 31,600 jemaah Malaysia, dengan penerbangan pertama dijadualkan bermula pada 18 April, manakala penerbangan terakhir pada 20 Mei. 

Hari wukuf, yang juga kemuncak ibadah haji dijangka pada 26 Mei ini.-BH Online