Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KOTA TINGGI, 11 April – Malaysia telah mengemukakan permohonan kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi menyemak semula terma penugasan pasukan pengaman termasuk Batalion Malaysia (MALBATT) di Lubnan.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata langkah itu diambil susulan situasi keselamatan di negara berkenaan yang semakin meruncing apabila konflik antara Israel dan Hizbullah terus memuncak.

Justeru, penilaian semula terhadap penugasan pasukan pengaman perlu dilakukan kerana ia sudah tidak selari dengan mandat asal diberi Pasukan Interim PBB di Lubnan (UNIFIL) untuk memantau dan mengekalkan keamanan.

“Mandat yang diberikan kepada kita adalah sebagai pasukan pengaman, jadi kelengkapan persenjataan yang dibawa adalah bersesuaian dengan peranan tersebut, bukannya untuk menghadapi situasi peperangan berskala besar,” katanya.

Beliau ditemui pada Majlis Pelepasan Benih Udang Galah di Sungai Gembut di sini.

Tambah beliau, setakat ini belum ada sebarang maklum balas diberi PBB berhubung permohonan tersebut.

Sebelum ini, Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan memaklumkan, lebih 500 anggota MALBATT di Lubnan telah diarah kekal dalam pangkalan dan menghentikan sementara operasi rondaan.-Berita RTM