Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

PUTRAJAYA: Malaysia mengecam sekeras-kerasnya keputusan rejim Zionis Israel yang meluluskan pembinaan 34 penempatan haram baharu di Wilayah Palestin yang Diduduki (OPT).

Dalam satu kenyataan pada Sabtu, Kementerian Luar yang turut dikenali sebagai Wisma Putra berkata Malaysia menegaskan bahawa peluasan penempatan secara berterusan merupakan pencabulan nyata terhadap undang-undang antarabangsa serta resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang berkaitan, terutamanya Konvensyen Geneva Keempat dan Resolusi Majlis Keselamatan PBB 2334 (2016).

Kementerian itu berkata tindakan itu juga merupakan cubaan untuk mengubah komposisi demografi Wilayah Palestin.

“Malaysia menggesa masyarakat antarabangsa dan Majlis Keselamatan PBB untuk bertindak tegas bagi memastikan rejim Israel mematuhi undang-undang antarabangsa,” menurut kenyataan itu.null

Wisma Putra berkata Malaysia menegaskan komitmen yang tidak berbelah bahagi, mengulangi seruannya bagi penubuhan sebuah negara Palestin yang merdeka dan berdaulat, berdasarkan sempadan pra-1967, dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara.-BH Online