JOHOR BAHRU: Kerajaan akan mengambil langkah intervensi termasuk meneroka sumber alternatif bahan mentah baharu bagi memastikan negara bersedia menghadapi kemungkinan tekanan bekalan dan kenaikan harga yang dijangka berlaku sekitar Jun dan Julai.
Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata ini termasuk untuk menangani kenaikan harga ubat-ubatan dan peranti kesihatan susulan krisis tenaga global akibat konflik di Asia Barat seperti dinyatakan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzuulkefly Ahmad semalam.
“Sebab itu apabila kita nyatakan perlu bersedia untuk bulan Jun dan Julai, intervensi itu perlu dibuat dari sekarang supaya kita tidak berdepan gangguan bekalan pada masa akan datang,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Mesyuarat Agung Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Pelangi di sini hari ini.
Semalam, Dzulkefly memaklumkan pihaknya sedang memantau kenaikan harga ubat dan peranti kesihatan sehingga 40 peratus susulan krisis tenaga global dan gangguan rantaian bekalan.
Menurut beliau, kenaikan harga ubat dianggarkan antara 30 hingga 40 peratus, manakala beberapa peranti perubatan mencatat peningkatan lebih tinggi sehingga 100 peratus.
Beliau memaklumkan kenaikan kos itu mula berlaku sebelum Mac apabila pemain industri menangguhkan bekalan, sekali gus menyebabkan peningkatan harga lebih awal di pasaran.
Mengulas lanjut, Akmal Nasrullah berkata antara fokus utama kerajaan ketika ini adalah menjamin ketersediaan bekalan serta mencari alternatif bahan bagi mengurangkan kebergantungan kepada sumber sedia ada.
Langkah segera itu, katanya perlu diambil dari sekarang bagi memastikan bekalan ubat dan peranti kesihatan kekal stabil, selain mengelakkan gangguan yang boleh memberi implikasi lebih besar kepada sistem kesihatan negara.
“Contohnya, dari segi pembuatan peranti perubatan yang sebelum ini hanya bergantung kepada resin, kita boleh meneroka penggunaan bahan berasaskan polimer sebagai alternatif.
“Namun perkara ini memerlukan tindakan susulan segera daripada kerajaan termasuk pengiktirafan dan persijilan terhadap bahan tersebut,” katanya.
Tambah beliau, kerajaan mengakui kebanyakan barangan termasuk ubat-ubatan dan peranti kesihatan bergantung kepada tenaga bahan api sebagai input utama, sekali gus menyebabkan kenaikan kos apabila harga tenaga meningkat.
“Apabila bahan api menjadi elemen input, sudah pasti ia memberi kesan kepada kos pengeluaran dan seterusnya harga barangan tersebut,” katanya.
Sehubungan itu, kerajaan meminta agensi kementerian pelaksana untuk meneliti secara mendalam ketersediaan bekalan serta menyusun langkah intervensi segera bagi memastikan rantaian bekalan kekal stabil.
“Melalui langkah intervensi, kerajaan dijangka dapat membantu menstabilkan bekalan, mengawal tekanan kos serta memastikan rakyat terus mendapat akses kepada ubat-ubatan dan peranti kesihatan pada harga berpatutan,” katanya.-BH Online
