KUCHING: Ibu bapa kepada mangsa kes amang seksual yang tidak berpuas hati dengan hukuman mahkamah disaran menggunakan saluran rayuan yang diperuntukkan undang-undang.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri, berkata pihaknya memahami perasaan keluarga mangsa, namun proses perundangan perlu dihormati kerana keputusan mahkamah berada di luar bidang kuasa kementerian.
“Jika ibu bapa berasa tidak senang hati dengan keputusan itu, mereka boleh membuat rayuan mengikut saluran yang ada.
“Sebagai kementerian, kita boleh menyuarakan perkara ini kepada pihak Peguam Negara, namun keputusan akhir tetap bergantung kepada proses perundangan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Program Outreach WCaRE: Pemerkasaan Komuniti Etnik di Perkarangan Surau Darul Salihin, Kampung Pasir Panjang, di sini hari ini.
Nancy berkata, penderaan seksual terhadap kanak-kanak adalah isu serius yang tidak boleh dipandang ringan dan memerlukan perhatian berterusan semua pihak.
Menurutnya, kementerian sentiasa komited dalam memastikan kebajikan serta perlindungan kanak-kanak terus diperkasa.
“Jika ada keperluan untuk campur tangan, ia akan dibincangkan pada peringkat kerajaan termasuk dengan pihak berkaitan.
“Namun kita tidak boleh membuat kenyataan sewenang-wenangnya kerana kes yang telah diputuskan mahkamah bukan dalam bidang kuasa kementerian,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata sebarang pandangan berhubung hukuman yang dikenakan perlu dibuat berdasarkan penelitian terhadap penghakiman penuh mahkamah.
“Saya tidak boleh memberi komen seperti orang biasa kerana saya mempunyai latar belakang perundangan. Saya perlu membaca dan memahami rasional di sebalik keputusan itu terlebih dahulu.
“Tidak adil untuk mengkritik sesuatu keputusan tanpa mengetahui alasan sebenar yang dipertimbangkan mahkamah,” katanya.-BH Online
