Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

TEHRAN: Speaker Parlimen Iran yang berpengaruh, Mohammad Bagher Ghalibaf memberi amaran keras kepada Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump bahawa ancaman dan tindakan melulu pemimpin itu akan menyebabkan ‘seluruh rantau Asia Barat bakal terbakar’.

Menerusi hantaran di laman X dalam bahasa Inggeris semalam, beliau menegaskan, tindakan dan ancaman Trump itu juga hanya akan menjerumuskan AS dan rakyatnya ke kancah kemusnahan.

“Tindakan melulu anda akan mengheret Amerika Syarikat ke ‘neraka dunia’ bagi setiap keluarga, dan seluruh rantau kami akan terbakar kerana anda berkeras mengikut telunjuk (Perdana Menteri Israel) Benjamin Netanyahu,” katanya.

Ghalibaf turut menambah bahawa satu-satunya jalan penyelesaian sebenar bagi meredakan ketegangan di rantau itu adalah dengan menghormati hak rakyat Iran.

“Penyelesaian sebenar adalah dengan menghormati hak rakyat Iran dan menghentikan permainan berbahaya ini,” tegas beliau lagi.

Kenyataan itu dikeluarkan ketika ketegangan di Asia Barat terus memuncak, membabitkan siri serangan udara dan operasi ketenteraan yang membabitkan sekutu rapat AS iaitu Israel. 

Iran mengecam keras ancaman terbaru Trump yang memberi amaran akan melancarkan serangan besar-besaran ke atas infrastruktur penting Iran sekiranya Selat Hormuz tidak dibuka semula, sambil menyifatkan kenyataan itu sebagai tidak bertanggungjawab dan berpotensi mencetuskan jenayah perang.

Ancaman itu disuarakan Trump menerusi satu kenyataan di platform media sosial Truth Social pada hujung minggu lalu, di mana beliau menetapkan tarikh akhir baharu kepada Tehran untuk membuka semula Selat Hormuz, laluan strategik yang mengendalikan kira-kira satu perlima bekalan minyak dan gas dunia.

Trump memberi amaran bahawa sekiranya tuntutan itu tidak dipenuhi, AS akan menyasarkan loji janakuasa dan jambatan utama di Iran, dalam apa yang digambarkannya sebagai “serangan yang tidak pernah disaksikan sebelum ini”.

Sebagai tindak balas, pegawai kanan Iran menolak ultimatum tersebut dan menyifatkannya sebagai bukti kegagalan diplomasi Washington.

Misi Iran ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berkata, ancaman terbuka Trump terhadap infrastruktur awam melanggar undang-undang antarabangsa dan Konvensyen Geneva.

“Sekali lagi, Presiden AS secara terbuka mengancam untuk memusnahkan infrastruktur yang penting bagi kelangsungan hidup orang awam,” menurut kenyataan misi Iran ke PBB, sambil menggesa masyarakat antarabangsa bertindak segera bagi menghalang sebarang serangan.

Sementara itu, usaha diplomatik oleh beberapa negara perantara, termasuk Pakistan, Turkiye dan Mesir, masih diteruskan bagi meredakan ketegangan dan membawa kedua-dua pihak kembali ke meja rundingan.

Namun, setakat ini tiada tanda jelas bahawa konflik tersebut akan reda dalam masa terdekat.

Pemerhati antarabangsa memberi amaran bahawa sebarang serangan ke atas infrastruktur awam boleh mengundang implikasi undang-undang serius serta memperluaskan lagi konflik di Asia Barat, menjejaskan kestabilan ekonomi global. – AFP