Kuala Lumpur, 26 Mac – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima kunjungan hormat Menteri Keselamatan Dalam Negeri China, Chen Yixin yang melakukan lawatan rasmi ke Malaysia, hari ini.
Datuk Seri Anwar menerusi hantaran di Facebook memaklumkan kunjungan Chen Yixin ke negara ini merupakan lawatan pertamanya ke negara sahabat pada tahun ini.
“Sebagai rakan akrab kepada Malaysia, kehadiran tokoh kepimpinan tinggi dari Kerajaan China merupakan suatu ehwal yang sangat dihargai oleh saya dan seluruh jentera Kerajaan MADANI”, katanya.
Menurut Datuk Seri Anwar perbincangan memfokuskan kepada hubungan bilateral dari sisi kerjasama keselamatan dua negara, selain situasi geopolitik semasa dunia yang menuntut kerjasama erat dua negara dalam memastikan keselamatan dan kestabilan rantau ini terus utuh.
“Mendepani cabaran masa hadapan, kedua-dua negara bertekad memperkasa hubungan diplomatik serta kerjasama keselamatan agar kemakmuran yang dikecapi dari aspek sosial dan ekonomi yang dinikmati rakyat kedua negara sentiasa terpelihara”, kata Datuk Seri Anwar.
Datuk Seri Anwar turut berharap kemajuan yang dicapai bersama Malaysia dan China dalam pelbagai bidang akan terus menjadi pemangkin kepada pengukuhan hubungan strategik antara kedua-dua negara.-Berita RTM
