Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan mempertahankan kedudukan Malaysia yang kini berada di tempat ke-13 daripada 165 negara paling aman di dunia, berdasarkan Indeks Keamanan Global (GPI).

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata berdasarkan kajian antarabangsa itu, negara juga berada dalam kalangan tiga paling aman di Asia Pasifik, iaitu selepas Singapura dan New Zealand.

Beliau berkata, pencapaian itu adalah hasil dasar keselamatan negara yang jelas dan usaha Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang melakukan apa sahaja tindakan untuk memastikan negara ini kekal aman.

“Indeks ini akan menjadi rujukan utama terutama dalam kalangan pelabur di mana mereka mahu meletakkan modal yang besar dan sekiranya tiada jaminan keamanan dalam negara, pastinya sukar untuk ia dilakukan.

“Jadi sempena Hari Polis ke-219 ini, kita ulangi tekad untuk mempertahankan kedudukan ini dengan sasaran dilonjakkan ke tangga sembilan daripada kedudukan ke-13 dan kita ada lima tahun untuk mencapai perkara itu,” katanya kepada pemberita dalam sidang akhbar selepas Sambutan Peringatan Hari Polis ke-219 Tahun 2026, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Saifuddin Nasution berkata, dalam usaha mengekalkan kedudukan dalam GPI, kementerian sentiasa memastikan undang-undang negara menepati setiap perkembangan dan keperluan semasa.

Justeru, beliau berkata, tindakan memperbaharui undang-undang seperti melakukan pindaan akta berkaitan dilaksanakan secara berterusan.

“Bagaimanapun kita harus mengakui terdapat pelbagai pindaan sedang dalam proses penelitian termasuk akta-akta yang merentasi pelbagai kementerian, yang penting dan akan membantu kita mengekalkan keamanan negara,” katanya.-BH Online