Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Malaysia menzahirkan harapan untuk pelaksanaan segera gencatan senjata yang komprehensif dan berkekalan bagi meredakan ketegangan di Asia Barat susulan konflik Amerika Syarikat (AS)-Israel dengan Iran.

Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan, berkata perkara itu disampaikan semasa perbualan telefon dengan rakan sejawatannya dari Iran, Dr Seyed Abbas Araghchi, semalam.

“Alhamdulillah, saya dapat bercakap dengan rakan sejawatan saya dari Iran, Dr Seyed Abbas Araghchi, pada Selasa (24 Mac) untuk membincangkan perkembangan terkini di Asia Barat, termasuk kepentingan menjaga laluan maritim di Selat Hormuz demi kestabilan ekonomi dan tenaga global,” katanya dalam catatan Facebook pada Rabu.

Mohamad berkata, menerusi perbualan itu beliau turut menekankan kepentingan dialog dan diplomasi dalam meredakan ketegangan bagi menamatkan peperangan, yang amat diperlukan ketika ini.

“Malaysia akan terus memainkan peranan aktif dalam usaha diplomatik untuk mempromosikan keamanan dan keselamatan serantau,” katanya.

Sementara itu, Mohamad berkata beliau juga mengadakan perbincangan dengan rakan sejawatannya dari Oman, Sayyid Badr Hamad Al Busaidi, mengenai situasi di Negara Teluk dan kebimbangan Malaysia terhadap serangan berterusan yang dilakukan rejim Zionis dan AS terhadap Iran.

“Malaysia turut menyatakan sokongannya terhadap usaha pengantaraan Oman dan menyatakan harapan bahawa rundingan melalui saluran diplomatik akan dapat menamatkan perang dengan segera,” katanya.-BH Online