KUALA LUMPUR: Golongan berpengaruh diberi amaran supaya tidak campur tangan dalam urusan Polis Diraja Malaysia (PDRM) ketika melaksanakan sebarang tindakan undang-undang, terutama membabitkan kes berprofil tinggi dan jenayah berskala besar.
Tanpa menamakan mana-mana individu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata tindakan itu akan menjejaskan siasatan, sekali gus menyulitkan pihak berkuasa menjalankan tugas mereka.
Beliau yang juga Menteri Kewangan turut mengakui terdapat kecenderungan pihak tertentu melindungi individu atau kumpulan berpengaruh daripada disiasat pihak berkuasa.
“Jangan ada campur tangan menghalang tindakan PDRM dan agensi penguatkuasaan.
Kadang-kadang (pihak) yang melindungi itu orang berpengaruh dan ini menyukarkan kerja PDRM.
“Saya beri arahan sangat jelas. Jika benar mahu bertindak, kita juga perlu beri nasihat kepada semua yang lain supaya jangan sesekali menghalang (tugas pihak berkuasa),” katanya ketika merasmikan Sambutan Peringatan Hari Polis Ke-219 di Pusat Latihan Polis (PULAPOL) Kuala Lumpur di sini, hari ini.
Yang turut hadir, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dan Ketua Hakim Negara, Datuk Seri Wan Ahmad Farid Wan Salleh.
Hadir sama, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail; Timbalan Menterinya, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah; Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil dan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail.
Pada majlis sama, Perdana Menteri turut melancarkan Buku MESRA PDRM – Modul Kesedaran Jenayah Kanak-Kanak dan Remaja.
Sementara itu, Anwar menghargai keberanian PDRM selepas dilihat lebih agresif menumpaskan sindiket dan golongan perasuah yang sebelum ini seolah-olah ‘kebal’ daripada tindakan undang-undang.
“Syukur kerana saya lihat ada ketegasan dan keberanian untuk bertindak, bukan saja kepada perasuah kecil, tetapi perasuah besar yang bermaharajalela selama puluhan tahun tetapi tidak pernah berani disentuh.
“Sindiket besar ini sudah lama terpendam dalam sistem kita dan saya ucap tahniah kerana (PDRM) berjaya mematahkannya hasil profesionalisme, tekad dan keberanian,” katanya yang juga Ahli Parlimen Tambun itu.
Perdana Menteri berkata, kerajaan menerusi kerangka MADANI komited memastikan undang-undang tidak lagi dirangka atau dilaksanakan hanya untuk memihak kepada kelompok tertentu yang mempunyai kuasa dan harta.
Ini kerana, katanya, terdapat keperluan mewujudkan perundangan dan langkah baharu supaya undang-undang dapat menjamin tertegaknya negara hukum dengan perkara itu turut membabitkan aspek pelaksanaan dan kecekapan pengurusan.
“Undang-undang ini mesti dilihat adil, tidak boleh dirangka untuk memihak kelompok tertentu yang biasanya golongan berkuasa dan memiliki harta kerana mereka boleh mempengaruhi sistem dan perundangan.
“Undang-undang ini mesti diasaskan kepada prinsip keadilan kerana ia akan memberikan kesan sebaliknya jika ditadbir atau digubal secara tidak adil.
“Sebab inilah reformasi undang-undang penting terutama bagi meningkatkan martabat negara, sekali gus meningkatkan keyakinan rakyat,” katanya.
Perdana Menteri berkata, PDRM perlu terus meningkatkan tahap profesionalisme dan integriti sebagai prasyarat utama dalam memacu transformasi negara.
Beliau berkata, ini kerana keamanan dikecapi hasil pengorbanan pasukan keselamatan adalah asas penting yang membolehkan kerajaan menumpukan usaha reformasi ekonomi, agenda teknologi maklumat dan transformasi digital.
“Tugas kita adalah memperingati jasa dan khidmat, selain meletakkan garis panduan dan hala tuju baharu untuk meningkatkan tahap profesionalisme serta integriti pasukan polis. Pembaharuan atau reformasi bermula dengan prasyarat keamanan,” katanya.-BH Online
