Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Kuala Lumpur: Penerbangan pertama jemaah haji Malaysia tahun ini yang dijadualkan pada 18 April ini kekal seperti dijadualkan walaupun konflik di Asia Barat masih berterusan.

Pada masa sama, Lembaga Tabung Haji (TH) mempunyai pelan alternatif sebagai langkah memastikan keselamatan jemaah kekal terpelihara.

TH memaklumkan, semua penerbangan yang menyusul selepas itu juga kekal dengan jadual ditetapkan tanpa perubahan setakat ini, manakala perkembangan terkini akan sentiasa disalurkan berdasarkan keadaan semasa di Asia Barat.null

Katanya, penerbangan terakhir membawa jemaah ke Tanah Suci dijadual pada 20 Mei.

TH berkata, tiada perkembangan baharu diumumkan setakat ini dan semua jadual penerbangan mengikut perancangan asal, seperti dinyatakan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mustakim Mohamad, minggu lalu.

“Setakat ini tarikh penerbangan masih kekal dan semua jadual berjalan seperti dirancang.

“Kenyataan TH juga kekal seperti yang dijelaskan oleh Ketua Pegawai Eksekutif semasa pengumuman agihan keuntungan sebelum ini.

“Sebarang perkembangan akan dimaklumkan dari semasa ke semasa,” katanya kepada BH, semalam.

Dalam pada itu, TH memberi jaminan pelan kontingensi sudah disediakan bagi memastikan keselamatan serta kebajikan jemaah haji Malaysia sentiasa terpelihara.

“Seperti dinyatakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan serta Ketua Pegawai Eksekutif, kami mempunyai pelan sedia ada dan mengaktifkannya mengikut keadaan semasa,” katanya.

Sebelum ini, Zulkifli dilaporkan berkata, pihak kementerian akan terus memantau situasi semasa secara rapi dan berterusan.

Katanya, sebuah pasukan khas yang diketuai Pengerusi TH ditubuhkan bagi memantau perkembangan berkaitan.

“Kita akan berkongsi maklumat terkini kepada semua bakal jemaah haji. Insya-Allah, penerbangan pertama dijadualkan pada 18 April ini. Doakan agar segala urusan berjalan lancar dan semua jemaah selamat,” katanya.

Orang ramai dinasihatkan agar merujuk kepada TH sebagai sumber rasmi bagi mengelakkan kekeliruan susulan penyebaran maklumat tidak sahih.-BH Online