KUALA LUMPUR: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menggesa reformasi menyeluruh dilaksanakan oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) susulan kejatuhan 14 anak tangga skuad Harimau Malaya dalam ranking Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).
Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari berkata, penurunan daripada kedudukan ke-121 ke tangga ke-135 itu wajar dijadikan pengajaran untuk memperkukuh semula ekosistem bola sepak negara.
Menurutnya, perkembangan berkenaan berpunca daripada keputusan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) yang membatalkan dua kemenangan skuad kebangsaan dalam kempen Kelayakan Piala Asia 2027 ke atas Vietnam dan Nepal.
“Saya turut merasai kekecewaan rakyat Malaysia, khususnya peminat bola sepak tempatan yang mengikuti perkembangan kontroversi melibatkan skuad kebangsaan sejak beberapa bulan lalu.
“Justeru, semua pihak perlu mengambil iktibar daripada situasi tersebut dan langkah-langkah wajar perlu diambil bagi memastikan perkara sama tidak berulang pada masa depan.
“Pembangunan bola sepak, terutama di peringkat akar umbi juga, perlu diteruskan dan saya menggesa semua rakyat Malaysia supaya terus memberikan sokongan kepada sukan ini,” katanya.
Mohammed Taufiq menegaskan KBS tetap berpendirian untuk tidak campur tangan dalam urusan pentadbiran FAM, sebaliknya akan terus memainkan peranan melalui Majlis Sukan Negara (MSN) bagi memperkasa pembangunan bakat tempatan.
“Program Pembangunan Bolasepak Negara (NFDP) akan terus diperkukuh sebagai rakan strategik FAM dalam melahirkan lebih ramai pemain berkualiti untuk skuad kebangsaan.
“KBS juga akan mengadakan sesi libat urus berkala bersama FAM bagi mendapatkan maklum balas mengenai strategi yang dirangka untuk mengelakkan kejatuhan ranking lebih lanjut, terutama selepas perubahan sistem ranking FIFA yang kini dikemas kini secara langsung,” katanya.
Beliau turut berharap semua pihak memberi ruang kepada FAM dengan bantuan AFC untuk mengenal pasti dan melaksanakan reformasi dalaman termasuk mengadakan kongres bagi memilih barisan kepimpinan baharu.
“Pejabat Pesuruhjaya Sukan akan terus memantau pematuhan FAM terhadap perlembagaan organisasi serta Akta Pembangunan Sukan 1997 (Akta 576) bagi memastikan tadbir urus sukan negara kekal telus dan teratur,” katanya.-BH Online
