KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim menyambut baik ikhtiar pendamaian yang digerakkan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mewakili masyarakat Melayu dan India yang menggesa segala isu perkauman membabitkan kedua-dua kaum dinoktahkan segera.
Perdana Menteri berkata, usaha itu disifatkannya suatu cerminan tahap kematangan rakyat dalam memilih jalan damai, sekali gus menolak perpecahan dan mengangkat semangat saling menghormati.
“Saya menyambut baik ikhtiar perdamaian oleh NGO yang mewakili badan Islam dan Hindu sekali gus menjadi suatu cerminan tahap kematangan rakyat dalam memilih jalan damai, menolak perpecahan dan mengangkat semangat saling menghormati.
“Inilah roh dan jiwa sebenar Malaysia, sebuah negara yang teguh berdiri atas nilai ihsan, kebersamaan dan hormat antara kaum.
“Kebersamaan ini mesti terus kita pelihara dan rangkul sebagai asas kekuatan negara,” katanya dalam kenyataan di platform rasminya hari ini.
Pada masa sama, Anwar turut menzahirkan terima kasih kepada petugas barisan hadapan yang menjaga keselamatan negara
“Salut saya kepada semua pihak termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang menjayakan usaha ini.
“Semoga ikhtiar ini terus menyatukan kita dan menjadi teladan dalam memperkukuh perpaduan nasional,” katanya.
Dalam pada itu, semalam beberapa NGO yang mewakili masyarakat Melayu dan India menggesa segala isu perkauman membabitkan kedua-dua kaum berkenaan dinoktahkan segera dengan mencari titik perdamaian menyeluruh.
Menerusi sesi dialog membabitkan beberapa NGO, mereka sepakat supaya jalan perdamaian melalui rundingan perlu diadakan bagi mencari persamaan dalam menyelesaikan segala masalah yang berbangkit.-BH Online
