Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

BANGKOK, 19 Mac – Parlimen Thailand pada Khamis memilih Anutin Charnvirakul sebagai Perdana Menteri, sekali gus mengekalkan pemimpin konservatif itu di jawatan tertinggi negara selepas partinya mencatat kemenangan besar dalam pilihan raya baru-baru ini.

Mengikut kiraan undi, Anutin melepasi 250 undi yang diperlukan untuk membentuk kerajaan.

Pemimpin berusia 59 tahun itu mengetuai parti Bhumjaithai, sebuah parti pro-tentera dan pro-monarki yang mencatat prestasi pilihan raya terbaik dalam sejarahnya pada Februari lalu.

Kerajaan baharu Thailand kini berdepan beberapa cabaran besar, termasuk kesan konflik di Asia Barat, pertumbuhan ekonomi yang perlahan serta ketegangan sempadan berpanjangan dengan Cambodia.

“Saya berharap dapat terus berkhidmat kepada rakyat selama yang mungkin,” kata Anutin kepada wartawan sebelum pengundian di Parlimen.

Parti Pheu Thai Party yang menduduki tempat ketiga dikaitkan dengan bekas Perdana Menteri Thaksin Shinawatra bersetuju menyertai kerajaan campuran yang diterajui Anutin bersama 14 parti kecil lain.

Anutin sebelum ini pertama kali dilantik sebagai Perdana Menteri pada September selepas penyandang ketika itu, Paetongtarn Shinawatra, digugurkan oleh mahkamah susulan aduan pelanggaran etika.

Kontroversi tercetus selepas satu rakaman perbualan telefon yang bocor menunjukkan Paetongtarn merujuk bekas pemimpin Kemboja Hun Sen sebagai “pak cik”, selain menyifatkan seorang komander tentera Thailand sebagai “pihak lawan”, sekali gus mencetuskan kemarahan awam dan politik.

Dalam pilihan raya lalu, Bhumjaithai berjanji memperketat kawalan di sempadan Kemboja, termasuk membina tembok sempadan, mengekalkan penutupan semua pintu sempadan serta merekrut sehingga 100,000 tentera sukarelawan.

Namun penganalisis politik berpandangan bahawa keutamaan rakyat kini lebih tertumpu kepada keadaan ekonomi.

Menurut ahli sains politik Yuttaporn Issarachai, kerajaan Thailand kini berdepan cabaran luaran yang semakin mendesak, termasuk kesan konflik Asia Barat terhadap harga tenaga global.

“Setakat ini, kabinet gagal menghasilkan langkah tegas untuk menurunkan kos bahan api, hanya menawarkan penyelesaian ‘bantuan’ seperti bekerja dari rumah,” katanya kepada AFP.

Thailand juga sedang berdepan sektor pelancongan yang lembap, selain persaingan pelaburan langsung asing daripada Vietnam yang berkembang pesat.

“Ekonomi kini menjadi keutamaan utama rakyat,” katanya.

Pada masa sama, konflik sempadan Thailand-Kemboja yang berlarutan masih menjadi isu keselamatan utama walaupun gencatan senjata rapuh masih berkuat kuasa di beberapa kawasan pertikaian sepanjang sempadan kira-kira 800 kilometer. – AFP