PETALING JAYA: Datuk Seri R Ramanan mengingatkan semua pihak supaya menangani isu membabitkan sebuah kuil Hindu yang terletak berhampiran hospital di Bukit Mertajam, Pulau Pinang secara berhemah dan mengikut saluran undang-undang yang sah.
Beliau yang juga Menteri Sumber Manusia, perkara itu tidak seharusnya disempitkan sebagai isu agama, sebaliknya perlu dilihat sebagai soal pematuhan terhadap undang-undang dan proses yang ditetapkan.
“Jangan sesekali beranggapan diri lebih besar daripada undang-undang di Malaysia.
“Malaysia adalah sebuah negara yang berteraskan kedaulatan undang-undang dan tiada siapa berada di atasnya.
“Dalam negara yang berpegang kepada prinsip kedaulatan undang-undang, setiap isu perlu diselesaikan melalui proses yang sah,” katanya pada sidang media Majlis Iftar KESUMA PERKESO Lindung 2026, di sini, malam tadi.
Yang turut hadir, Timbalan Menteri KESUMA, Datuk Khairul Firdaus Akbar Khan; Ketua Setiausaha KESUMA, Datuk Azman Mohd Yusof dan Ketua Pegawai Eksekutif PERKESO, Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed.
Sehubungan itu, beliau yang juga Naib Presiden PKR menegaskan sebarang pertikaian perlu disalurkan melalui saluran yang betul, termasuk membuat laporan kepada pihak berkuasa atau melalui proses perundangan.
Ahli Parlimen Sungai Buloh itu turut mengingatkan bahawa kerajaan tidak akan berkompromi terhadap sebarang tindakan yang boleh mencetuskan ketegangan awam atau mengganggu ketenteraman masyarakat.
“Jika ada pihak yang merasakan mereka boleh bertindak sesuka hati dan mencabar undang-undang, jangan ingat kerajaan akan berdiam diri.
“Seperti yang ditegaskan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, kerajaan akan mengambil tindakan tegas. Oleh itu, patuhilah undang-undang,” katanya.
Sementara itu, Ramanan berkata, kajian mengenai Skim Pengembara bagi melindungi hampir 400,000 rakyat Malaysia yang berulang-alik merentasi Tambak Johor untuk bekerja di Singapura dijangka siap pada suku kedua tahun ini.
Beliau berkata, kajian yang dilaksanakan oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) itu akan dibentangkan di Parlimen sebelum skim berkenaan dapat dilaksanakan.
Beliau berkata, kajian berkenaan perlu merangkumi penilaian risiko serta aspek kewangan, termasuk kadar caruman yang perlu dibayar oleh pencarum dan jumlah manfaat yang akan diterima.
“Kita menyasarkan pelaksanaannya pada hujung tahun ini. Namun, melihat kepada perkembangan kerja oleh PERKESO di bawah kepimpinan Ketua Pegawai Eksekutifnya (Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed) serta Pengerusinya (Datuk Seri Subahan Kamal), saya percaya kajian ini boleh disiapkan lebih awal.
“Kita jangka kajian itu selesai pada suku kedua, tetapi ia perlu dibentangkan di Parlimen terlebih dahulu sebelum boleh diluluskan.
“Perkara ini tidak boleh diluluskan begitu sahaja, ia perlu melalui beberapa peringkat bacaan sebelum boleh dilaksanakan,” katanya.
Ramanan berkata, kementerian itu akan memastikan pelaksanaan skim itu kekal mengikut perancangan dengan sasaran dilaksanakan menjelang penghujung tahun ini.
Dalam majlis iftar itu, PERKESO menyampaikan faedah lebih RM300,000 kepada 15 penerima daripada program LINDUNG Pekerja, LINDUNG Kerjaya, LINDUNG Kendiri dan LINDUNG Kasih.
Majlis itu turut menyaksikan pemberian duit raya kepada 100 anak yatim serta hamper kepada 40 balu dan duda.
Selain itu, RM100,000 disalurkan kepada 10 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan badan kebajikan tempatan bagi memperkasa kesejahteraan masyarakat.
Ramanan berkata, program tanggungjawab sosial korporat (CSR) seperti itu selari dengan aspirasi KESUMA untuk memastikan tiada golongan tercicir daripada perlindungan sosial.-BH Online
