Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Bekalan gas dan minyak negara kekal terjamin dan kerajaan akan terus memantau rapat perkembangan global susulan konflik di Timur Tengah, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini.

Menerusi hantaran di media sosial, Anwar berkata kerajaan MADANI memastikan Malaysia bersiap siaga dengan langkah kontingensi bagi melindungi rakyat serta memastikan kelangsungan ekonomi negara.

Terdahulu, Anwar yang juga Menteri Kewangan mempengerusikan Mesyuarat Majlis Kewangan Negara (MKewN) 2026 bersama kalangan Menteri Besar dan Ketua Menteri di Kementerian Kewangan, petang tadi

“Dalam mesyuarat ini, saya memaklumkan bahawa asas ekonomi Malaysia kekal kukuh di sebalik ketidaktentuan susulan konflik di Asia Barat.

“Pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) 2025 mengatasi unjuran, manakala kadar pengangguran berada pada tahap terendah dalam tempoh 11 tahun,” kata beliau.

Anwar juga berkata, mesyuarat itu turut bersetuju bahawa sempena Tahun Melawat Malaysia 2026, Kerajaan MADANI akan menyalurkan 100 peratus kutipan Cukai Pelancongan kepada negeri masing-masing, berbanding hanya 50 peratus sebelum ini, sebagai galakan untuk merancakkan ekonomi pelancongan negeri.

“Kerajaan MADANI kekal berpendirian untuk berlaku adil kepada semua negeri agar kita dapat bergerak seiring membina negara yang lebih makmur, mampan dan terangkum seperti yang digariskan dalam kerangka Ekonomi MADANI,” katanya.– BERNAMA