KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan, senada bahawa semua pihak terbabit dalam ketegangan di Asia Barat perlu menunjukkan tahap kawalan diri dan kebijaksanaan tertinggi bagi mengelakkan keadaan daripada terus meruncing.
Anwar menerima panggilan telefon daripada Erdogan, malam tadi dan bertukar pandangan berhubung perkembangan terbaru di Asia Barat yang semakin meruncing susulan siri serangan yang menggugat kestabilan rantau itu.
Perdana Menteri berkata, beliau turut menyentuh mengenai insiden pembunuhan beberapa pimpinan tertinggi Iran termasuk Ayatollah Ali Khamenei.
“Saya tegaskan bahawa peristiwa ini berisiko menjerumuskan Asia Barat ke dalam ketidaktentuan yang serius dan berpanjangan,” katanya menerusi hantaran di laman sosial, hari ini.
Menerusi perbualan telefon itu juga, Anwar turut menyampaikan solidariti Malaysia terhadap Turkiye susulan kejadian peluru berpandu balistik yang didapati menuju ke arah ruang udara negara itu.
“Kejadian berkenaan menggambarkan betapa rapuhnya keselamatan rantau itu ketika ini,” katanya.
Pada masa sama, Anwar turut menzahirkan penghargaan terhadap peranan Erdoğan yang sering tampil sebagai suara nurani bagi dunia Islam.
Katanya, ia termasuk usaha Turkiye memainkan peranan sebagai perantara antara Washington dan Tehran dalam membuka ruang dialog dan penyelesaian diplomatik.
“Malaysia menyeru semua pihak menurunkan ketegangan dan menghentikan serangan yang berisiko mencetuskan ketidakstabilan lebih luas melangkaui Asia Barat.
“Pendekatan berteraskan dialog dan diplomasi mesti menjadi keutamaan,” katanya.
Mengulas mengenai isu Palestin, Anwar sekali lagi merakamkan penghargaan terhadap Turkiye dan beberapa negara lain yang mengutuk keputusan Israel memperluas penempatan haram di Tebing Barat.
Tegasnya, pendirian Malaysia jelas bahawa tindakan rejim Zionis itu adalah pencabulan undang-undang antarabangsa.-BH Online
