Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Kementerian Luar sedang mengatur usaha evakuasi rakyat Malaysia yang terkandas susulan penggantungan penerbangan dan penutupan ruang udara di beberapa negara yang terjejas akibat konflik Asia Barat. 

Sehubungan itu, kerjasama sedang diatur pihak kementerian dengan Perwakilan Diplomatik Malaysia, kerajaan di negara terjejas serta syarikat penerbangan.

“Usaha evakuasi ini juga meliputi rakyat Malaysia yang ingin kembali ke tanah air, berdasarkan pangkalan data rakyat Malaysia yang berdaftar.

“Rakyat Malaysia digesa segera mendaftar dan mengemas kini maklumat perhubungan masing-masing dengan Kedutaan Besar Malaysia atau Perwakilan Malaysia terdekat, atau melalui e-Konsular di https://ekonsular.kln.gov.my, bagi memudahkan penyelarasan evakuasi tersebut,” katanya melalui kenyataan hari ini.

Kementerian itu yang turut dikenali Wisma Putra berkata Perwakilan Diplomatik Malaysia di negara-negara terjejas telah berhubung dengan rakyat Malaysia sejak peringkat awal konflik bagi menyalurkan bantuan konsular serta mendapatkan maklumat yang diperlukan untuk tujuan perancangan kontingensi.

“Rakyat Malaysia di negara-negara terjejas juga digesa sentiasa mengamalkan tahap kewaspadaan tinggi, mengelakkan kawasan operasi ketenteraan dan perhimpunan awam, serta mematuhi sepenuhnya arahan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa tempatan.

“Kementerian akan memastikan usaha evakuasi ini dilaksanakan dengan sebaiknya dengan kerjasama semua pihak berkaitan demi menjaga kepentingan dan keselamatan rakyat Malaysia,” katanya.

Nasihat perjalanan

Dalam pada itu, Wisma Putra turut menasihatkan warganegara Malaysia supaya menangguhkan perjalanan ke negara yang terjejas oleh konflik berkenaan. 

“Nasihat ini juga terpakai kepada rakyat Malaysia yang berhasrat untuk mengerjakan umrah atau ziarah.

“Nasihat perjalanan ini akan terus berkuat kuasa sehingga suatu masa yang akan dimaklumkan kelak. Sehubungan itu, Kementerian memohon kerjasama dan kefahaman semua pihak, termasuk agensi pelancongan,” katanya.-BH Online