Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Malaysia memperkukuh kedudukannya sebagai peneraju ekosistem halal global apabila melancarkan program spa mesra Muslim pertama di dunia.

Inisiatif itu dimeterai melalui Memorandum Persefahaman (MoU) antara Islamic Tourism Centre (ITC) dan Association of Malaysian Spas (AMSPA) sempena pameran pelancongan antarabangsa ITB Berlin di Jerman.

Majlis pemeteraian disaksikan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing.

Beliau menyifatkan pembangunan sektor spa dan kesejahteraan mesra Muslim sebagai agenda penting untuk menarik lebih ramai pelancong.

MoU berkenaan ditandatangani Ketua Pengarah ITC, Mohammad Faisal Abu Suaib Khan dan Presiden AMSPA, Selinastein Mohd Rashid.

Turut hadir, Duta Besar Malaysia ke Jerman, Mohamad Razdan Jamil serta Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Mohd Amirul Rizal Abdul Rahim.

Menerusi satu kenyataan, kerjasama itu menyaksikan ITC akan melaksanakan garis panduan serta program latihan Spa Mesra Muslim kepada 100 ahli AMSPA.

“Ia merangkumi modul latihan khusus, pembangunan kapasiti dan rangka kerja pengiktirafan rasmi.

“Program itu yang pertama di dunia mencerminkan komitmen Malaysia memperkukuh piawaian kesejahteraan halal serta menjadikan negara sebagai rujukan utama dalam pasaran pelancongan Muslim yang semakin berkembang,” kata kenyataan tersebut.

Inisiatif berkenaan juga menyokong usaha meningkatkan daya tarikan pelancongan negara menjelang kempen Tahun Melawat Malaysia.

Garis panduan spa dan kesejahteraan tersebut dibangunkan ITC bersama AMSPA dan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dengan merujuk piawaian Spa Halal SMIIC yang diguna pakai di peringkat Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC).

Ia turut menjadi sebahagian daripada program Muslim-Friendly Tourism and Hospitality Assurance and Recognition (MFAR) yang merangkumi piawaian premis penginapan serta pengendali pelancongan mesra Muslim.

Langkah itu dilihat mengukuhkan kedudukan Malaysia bukan sahaja sebagai destinasi pelancongan utama, tetapi juga hab rujukan global bagi pembangunan standard pelancongan mesra Muslim.-Astro Awani