KUALA LUMPUR: Kesemua anggota Batalion Malaysia (MALBATT) 850-13 yang sedang melaksanakan penugasan di selatan Lubnan berada dalam keadaan selamat walaupun berlaku peningkatan aktiviti ketenteraan di kawasan berkenaan.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin memaklumkan situasi keselamatan di kawasan tanggungjawab Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lubnan (UNIFIL) serta MALBATT 850-13 menunjukkan peningkatan aktiviti ketenteraan antara Israel Defense Forces (IDF) dan Hizbullah.
Menurut beliau, tentera Israel dilaporkan memasuki beberapa kawasan di Lubnan dan beberapa serangan turut direkodkan berhampiran sektor tanggungjawab MALBATT.
“Langkah perlindungan pasukan telah dipertingkat selaras dengan tahap waspada semasa.
“Pada masa ini, tiada keperluan untuk melaksanakan evakuasi kerana keadaan masih terkawal,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Mohamed Khaled menegaskan MALBATT 850-13 kekal pada tahap kesiapsiagaan tertinggi dan bersedia mengaktifkan pelan kontigensi termasuk pemindahan kecemasan sekiranya diperlukan.
“Kementerian Pertahanan melalui Markas Angkatan Bersama terus memantau perkembangan situasi secara rapat dengan kerjasama UNIFIL serta agensi berkaitan.
“Keselamatan setiap anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sentiasa menjadi keutamaan kerajaan,” katanya.-BH Online
