Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

PUTRAJAYA: Ketua Whip Kerajaan, Datuk Seri Fadillah Yusof yakin pembentangan semula Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2026 bagi mengehadkan tempoh 10 tahun jawatan Perdana Menteri dijadualkan Jun ini akan mendapat sokong penuh Ahli Parlimen kerajaan. 

Beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri, berkata pindaan terhadap Perlembagaan membabitkan tempoh jawatan Perdana Menteri itu adalah satu reformasi yang baik untuk negara.

Katanya, walaupun ada suara-suara yang mempersoalkan tindakan kerajaan membawa RUU berkenaan, namun kerajaan berpandangan bahawa mengehadkan tempoh seseorang Perdana Menteri berada dalam jawatan itu adalah yang terbaik untuk negara buat masa ini. 

“Jadi apa yang diputuskan ialah kita akan membawa balik RUU ini ke Parlimen dan kita tengoklah nanti.

“Dan saya yakin kita akan dapat kelulusan untuk kali yang akan datang,” katanya kepada pemberita pada Majlis Berbuka Puasa Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA), di sini, hari ini. 

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai lapan Ahli Parlimen menyokong kerajaan yang tidak hadir ketika pengundian untuk RUU berkenaan dibuat Isnin lalu. 

Fadillah berkata, pembentangan RUU berkenaan juga mencerminkan komitmen Kerajaan yang diterajui Perdana Menteri Datuk Seri Anwaruntuk melakukan reformasi kepada sistem pentadbiran negara. 

Pada masa sama, Fadillah berkata, beberapa Ahli Parlimen yang tidak hadir itu sudah memaklumkan penjelasan masing-masing mengenai ketiadaan mereka ketika pengundian dibuat. 

“Dia ada berapa orang tak hadir. Dua Ahli Parlimen dah menghantar surat memberi penjelasan mengapa mereka tak hadir. 

“Ada yang dah berhubung dengan saya secara lisan menerangkan sebab. Ada yang terkandas di luar negara disebabkan penerbangan tak ada. 

“Tapi rata-rata yang tak hadir, kecuali Bukit Gantang yang mengatakan dia tidak bersetuju, yang lain semua menyokong. 

“Cuma kebetulan keadaan pada waktu itu mereka tidak dapat hadir. Sebab itu jumlah yang hadir menyokong 146,” katanya. 

Media sebelum ini melaporkan Dewan Rakyat tidak meluluskan RUU Perlembagaan (Pindaan) 2026 bagi mengehadkan tempoh 10 tahun jawatan Perdana Menteri selepas RUU itu gagal memperoleh sokongan dua pertiga Ahli Parlimen.

Keputusan undi belah bahagian itu diumumkan Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul, apabila hanya 146 Ahli Parlimen menyokong, sementara 32 Ahli Parlimen tidak hadir dan 44 Ahli Parlimen berkecuali.

Sementara itu, Mesyuarat Kabinet yang dipengerusikan Perdana Menteri hari ini memutuskan Kerajaan akan membentangkan semula RUU Perlembagaan (Pindaan) 2026 itu pada persidangan Dewan Rakyat Jun ini.

Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil dilaporkan berkata, pihaknya berharap dan akan berusaha untuk memastikan Ahli Parlimen kerajaan memberi sokongan penuh, hadir dan mengundi untuk meluluskan pindaan Perlembagaan itu.-BH Online