Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

PUTRAJAYA, 28 Februari – Kemajuan teknologi dan arus perubahan dunia yang semakin pantas menuntut kecekalan dan kesediaan warga dalam menghadapi cabaran baharu dalam dunia pendidikan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, mengulangi amalan atau pendekatan lama tidak lagi relevan khususnya dalam dunia transformasi yang berubah dengan sangat pantas.

Sehubungan itu, beliau berpandangan dunia pendidikan masa kini memerlukan pendekatan baharu yang lebih berkesan bagi mendepani tuntutan semasa, selaras kemajuan masa kini.

“Perubahan menuntut sesuatu yang baru dan kecekalan serta perbezaan sikap. Kita tiada pilihan. Menggapai di langit tapi berakar ke bumi.

“Tapi kalau kita teragak-agak, banyak termenung dan cuai, kita akan ketinggalan kerana dunia ini bersaing hebat.

“Apa saya nak sampaikan, jika mahu maju kita harus terima kenyataan tidak boleh kekal di tahap lama. Cara fikir, cara timba ilmu, kepantasan, itu saya nak tekankan,” katanya.

Beliau berucap pada Majlis Berbuka Puasa Perdana Menteri bersama warga Kementerian Pendidikan dan Kementerian Pendidikan Tinggi di Dewan Banquet, Kompleks Seri Perdana, Putrajaya.

Datuk Seri Anwar turut berkata, kecekalan dan kesediaan menghadapi perubahan bukan hanya satu cabaran kepada warga kementerian pendidikan, tetapi juga kepada pelajar dalam memastikan mereka berdaya saing dalam dunia pendidikan.-Berita RTM