Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

TEHRAN: Tentera Pertahanan Israel (IDF) dengan kerjasama Amerika Syarikat (AS) melancarkan serangan mengejut ke atas Iran hari ini.

Tindakan itu mencetuskan letupan kuat di sekitar ibu kota Tehran dan memaksa pemimpin tertinggi negara itu, Ayatollah Ali Khamenei, dipindahkan ke lokasi rahsia.

Serangan itu menyaksikan IDF mengeluarkan amaran nasional kepada seluruh rakyat Israel supaya berada di kawasan perlindungan sebagai persediaan menghadapi kemungkinan serangan balas peluru berpandu daripada pihak Iran.

“Ini adalah amaran proaktif untuk menyediakan orang awam terhadap kemungkinan pelancaran peluru berpandu ke arah Israel,” kata kenyataan rasmi IDF.

Sumber keselamatan mengesahkan kepada portal berita Walla bahawa AS terbabit secara langsung dalam serangan itu.

Perkembangan itu berlaku ketika pentadbiran Presiden AS, Donald Trump, sebelum ini memberi isyarat akan menggunakan kekerasan jika rundingan nuklear gagal mencapai kesepakatan.

Pemimpin Agung Iran dilaporkan tidak berada di Tehran dan telah dipindahkan ke lokasi selamat, menurut pengesahan seorang pegawai Iran kepada agensi berita Reuters.

Media Iran melaporkan serangan itu menyasarkan Direktorat Perisikan Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC) serta beberapa lokasi di tengah Tehran.

Sebagai tindak balas, Iran telah menutup sepenuhnya ruang udara negara itu bagi semua penerbangan awam.

Seorang pegawai keselamatan Israel memaklumkan bahawa operasi terbabit telah dirancang selama berbulan-bulan dan masanya telah ditetapkan sejak beberapa minggu lalu.

Antara objektif utama serangan itu adalah untuk menghapuskan ancaman terhadap benteng domestik Israel, dengan penekanan kepada tapak pelancaran peluru berpandu dan pangkalan pesawat tanpa pemandu (UAV).

Setakat ini, belum ada sebarang peluru berpandu dilancarkan dari Iran ke arah wilayah Israel. 

Bagaimanapun, pegawai keselamatan memberi amaran bahawa serangan balas daripada Tehran dijangka boleh berlaku dalam tempoh beberapa jam lagi.

Keadaan di rantau Asia Barat kini berada pada tahap amaran tertinggi dengan penutupan ruang udara bukan sahaja di Iran, malah turut membabitkan Israel dan beberapa negara jiran yang menjangkakan peningkatan konflik berskala besar. – AGENSI