Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUCHING: Situasi banjir di beberapa kawasan di Sabah akibat hujan berterusan menunjukkan perkembangan membimbangkan apabila jumlah penduduk dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) semakin meningkat.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri, berkata susulan itu pihaknya bersedia menghadapi sebarang kemungkinan termasuk memastikan persediaan pangkalan hadapan khususnya di kawasan jauh dari bandar, berada pada tahap optimum.

Beliau berkata, langkah itu penting bagi memastikan semua mangsa banjir yang ditempatkan di PPS menerima bantuan makanan, keperluan asas dan barangan kebersihan dengan segera.

“Kami sentiasa memastikan stok barangan di pangkalan hadapan mencukupi bagi memastikan bantuan tidak menghadapi sebarang masalah atau kelewatan,” katanya selepas majlis Mindness Tour Kaunseling Kasih PSSS-Serahan Zakat dan Bakul Makanan Kepada Golongan Asnaf Zon Bako di Dewan Serbaguna Kampung Selabat, di sini, hari ini.

Setakat jam 8 pagi tadi, bilangan mangsa banjir yang dipindahkan ke PPS di tiga daerah di utara Sabah iaitu Kota Marudu, Pitas dan Paitan terus meningkat kepada seramai 3,685 orang.

Mereka membabitkan 1,593 keluarga yang berlindung di 18 PPS berbanding 1,185 keluarga di 15 PPS sebelumnya. Mengikut Pusat Kawalan Bencana Negeri Sabah, daerah Kota Marudu merekodkan jumlah mangsa tertinggi dengan 1,978 orang daripada 925 keluarga.

Mengulas lanjut, Nancy berkata kementeriannya juga menyediakan kemudahan bantuan secara dalam talian bagi memudahkan mereka yang belum berdaftar untuk mendapatkan sokongan sewajarnya.

“Bagi kawasan yang tidak mempunyai capaian internet, pejabat daerah akan sentiasa membantu mangsa dalam urusan pendaftaran dan penyaluran bantuan,” katanya.

Nancy berkata kementeriannya bekerjasama rapat dengan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) bagi memastikan penyelarasan operasi berjalan lancar dan tersusun.

Beliau berkata, seramai 4,785 kakitangan bersedia untuk diatur gerak ke lokasi terjejas, selain memastikan setiap PPS mempunyai sekurang-kurangnya seorang kaunselor bagi membantu kanak-kanak yang terkesan akibat bencana.

“Ketika ini terdapat 155 kaunselor bersedia ditempatkan di PPS, manakala 5,744 sukarelawan berdaftar di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) turut bersiap siaga, selain 976 anggota pasukan sokongan psikologi yang sentiasa berada dalam keadaan siap sedia untuk memberi bantuan emosi kepada mangsa,” katanya.-BH Online