KUALA LUMPUR: Rang undang-undang (RUU) berhubung pemisahan peranan Peguam Negara dengan Pendakwa Raya serta pengehadan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada dua penggal, akan dibentangkan di Dewan Rakyat pada Isnin depan.
Perkara itu disahkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, pada pertemuan bersama ketua-ketua editor di Pusat Timbang Tara Antarabangsa Asia (AIAC), di sini, hari ini.
Beliau berkata, bacaan kali kedua bagi kedua-dua RUU itu pula dijadualkan berlangsung pada minggu berikutnya.
Azalina akan membentangkan bacaan kali kedua RUU bagi pemisahan peranan Peguam Negara dengan Pendakwa Raya pada 2 Mac depan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pula akan membentangkan bacaan kali kedua RUU bagi mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada dua penggal pada 3 Mac depan.
Pada Isnin depan juga, taklimat akan diadakan dengan Ahli Parlimen berhubung kedua-dua RUU itu di Dewan Bankuet Parlimen pada jam 1 tengah hari.-BH Online
