Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

SEREMBAN, 20 Februari – Loji Rawatan Air (LRA) Ngoi Ngoi Fasa 2 berupaya menstabilkan bekalan air bagi kawasan Seremban, Nilai dan Sendayan.

Menurut Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Haron, LRA baharu itu memperkukuh sistem bekalan air berikutan LRA Fasa 1 di Sungai Terip kini beroperasi pada tahap maksimum dengan margin simpanan yang kecil.

LRA Ngoi Ngoi Fasa 2 yang berkapasiti 150 juta liter sehari (MLD) dan mampu meningkatkan margin simpanan air bagi tiga kawasan berkenaan.

“Kita sedia maklum hari ini, perkara paling penting di seluruh negara ialah memastikan kapasiti bekalan air mencukupi bagi menyokong pembangunan perindustrian yang semakin pesat.

“Dengan adanya LRA ini, kita berharap ia dapat membantu masyarakat dan negeri ini terus berkembang dengan lebih baik,” katanya selepas Majlis Perasmian Loji Rawatan Air Ngoi-Ngoi Fasa 2 di sini.

“Kemudahan ini dijangka memberi manfaat kepada kira-kira 80,000 akaun pengguna melibatkan sektor domestik, komersial dan industri,” tambahnya lagi.

Dalam perkembangan berkaitan, kerajaan negeri menerusi Syarikat Air Negeri Sembilan turut giat melaksanakan kerja penggantian paip usang secara berfasa.-Berita RTM