BANGI: Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar berkata perkhidmatan awam akan memulakan pelaksanaan pendekatan tanpa kertas bagi urusan mudah bermula 9 Februari, selaras usaha mempercepat pendigitalan dalam pentadbiran kerajaan.
Beliau berkata surat arahan rasmi mengenai ketetapan itu akan dikeluarkan dan Unit Transformasi Digital juga diwujudkan bermula tarikh sama.
“Kita mulakan dengan program pendigitalan dalam perkhidmatan awam bagi perkara-perkara yang mudah, tiada lagi kertas,” katanya pada sidang media selepas Permukiman Ketua Setiausaha Kementerian dan Ketua Perkhidmatan (KSUKP) Tahun 2026 di sini hari ini.
Turut hadir Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan Datuk Johan Mahmood Merican.
Shamsul Azri berkata pihaknya juga akan memberi tumpuan kepada pelaksanaan projek pembangunan yang dapat memberi kesan segera kepada kesejahteraan rakyat.
Antara keutamaan termasuk kerja-kerja membaiki jalan, membaik pulih bangunan sekolah serta penyediaan kemudahan awam yang lebih selesa.-BH Online
