KLANG: Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) sedang mempertimbangkan untuk membawa masuk ikan dari Sabah ke Semenanjung secepat mungkin bagi menangani kenaikan harga hasil laut itu kebelakangan ini.
Menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu, berkata pihaknya akan mengadakan perbincangan dengan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) supaya ikan dari Sabah dapat dibawa masuk segera ke Semenanjung.
Beliau yang ditemui pemberita selepas merasmikan Program Semarak Ramadan MADANI 1447H Peringkat Kebangsaan di Pasar Tani Taman Sri Andalas, di sini hari ini, berkata langkah itu akan membolehkan hasil laut berkenaan dapat dijual pada pada harga lebih berpatutan di Semenanjung.
“Saya lihat tadi barang-barang yang dijual (di Pasar Tani Taman Sri Andalas), harganya agak tinggi sedikit, tetapi kita akan cari jalan supaya lebih murah, terutama sekali makanan harian seperti ikan. Saya lihat tadi sayuran, harganya sederhana.
“Kita nak bincang (dengan LKIM) supaya ikan (dari Sabah) dapat dibawa dengan segera ke Semenanjung supaya orang-orang di sini dapat harga lebih berpatutan. Kalau ‘ikan rakyat’ di Tawau dan Semporna, harganya RM2 sekilogram.
“Nelayan di sana menghadapi masalah sebab hasil tangkapan mereka dijual terlalu murah kerana ikan di sana agak banyak, banyak ganda (berbanding harga ikan lebih mahal di Semenanjung). Ikan sembilang di sana kurang digemari, di sini RM12 sekilogram, tetapi memang ikan ini dicari,” katanya.
Mohamad Sabu berkata, pihaknya serius dalam usaha menangani isu harga ikan di Semenanjung, terutama ‘ikan rakyat’ seperti kembung, pelata dan selar dapat dijual murah.
“Kita akan cuba cari jalan bagaimana hendak bawa (ikan dari Sabah) ke Semenanjung dengan cepat supaya masyarakat di sini dapat harga lebih murah. Bagaimanapun, (perbincangan) ambil masa sedikit sebab perlu buat persiapan,” katanya.
Antara persiapan berkenaan, katanya, adalah menyediakan bilik sejuk mencukupi serta perbincangan dengan syarikat penerbangan bagi menerbangkan ikan dari Sabah ke Semenanjung.-BH Online
