Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh percaya Datuk Bandar, Datuk Seri Fadlun Mak Ujud akan menjadi insan yang tepat dan berani membawa perubahan dalam Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan ibu negara ini.

Beliau berkata, Kuala Lumpur ketika ini memerlukan kepimpinan yang tahu mengenai masalah sebenar wilayah itu seterusnya bertindak dengan pantas dan efisien untuk membawa perubahan.

“Dilatih sebagai Perancang Bandar, beliau (Fadlun) faham betapa seriusnya cabaran bandar raya ini. Beliau turun padang, dengar sendiri suara rakyat, dan sentiasa berpijak pada realiti sebenar di lapangan.

“Saya akui saya bertuah kerana bukan semua Datuk Bandar ada kualiti seperti ini. Gandingan kami dibina atas kepercayaan dan komitmen kepada tadbir urus yang baik. Sebab itu pengiktirafan ini memang sangat layak untuk beliau terima.

“Kuala Lumpur perlukan kepimpinan yang faham masalah sebenar dan berani buat perubahan. Saya percaya kita berada di landasan yang betul,” katanya dalam hantaran pada akaun media sosial miliknya semalam.

Hannah turut mengucapkan tahniah kepada Fadlun yang dikurniakan pingat kebesaran Darjah Kebesaran Setia Mahkota Wilayah (S.M.W.) yang membawa gelaran Datuk Seri sempena Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Wilayah Persekutuan 2026.

“Saya bersyukur dapat Datuk Bandar yang kuat dari segi kompetensi. Untuk baki penggal ini, saya mahu terus bergerak bersama beliau untuk beri yang terbaik kepada warga Kuala Lumpur.

“Setakat sebulan setengah saya memegang portfolio ini, saya sangat berpuas hati dengan kelajuan beliau melaksanakan perubahan. Bukan sekadar bercakap tetapi terus buat kerja. Beliau bertindak sendiri dengan pantas dan efisien,” katanya.-BH Online