Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

PUTRAJAYA – Kerajaan bersetuju memberikan diskaun tol sempena perayaan Tahun Baharu Cina yang disambut pada minggu hadapan.

Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil berkata, perkara itu dipersetujui dan diputuskan dalam mesyuarat Jemaah Menteri yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini.

“Jemaah Menteri bersetuju memberi diskaun tol sempena musim perayaan itu. Kementerian Kerja Raya (KKR) akan membuat pengumuman dalam masa terdekat,” katanya pada sidang akhbar pasca mesyuarat Kabinet di sini hari ini.

Katanya, inisiatif itu bertujuan untuk mengurangkan kos perjalanan dan membantu rakyat membuat keputusan mengenai tarikh atau waktu sesuai untuk pulang ke kampung sempena musim perayaan tersebut.

Fahmi berkata, butiran penuh, termasuk kelas kenderaan dan jumlah diskaun akan dimaklumkan KKR dalam masa terdekat.

Sambutan Tahun Baharu Cina diraikan pada 17 Februari ini dengan pemberian cuti umum selama dua hari sehingga 18 Februari. Tahun lalu, kerajaan memberikan potongan diskaun tol sebanyak 50 peratus dari kadar tol biasa sempena Tahun Baharu Cina.

Implikasi kewangan yang ditanggung kerajaan tahun lalu untuk membayar balik pampasan kepada syarikat konsesi tol terlibat dianggarkan berjumlah RM20.08 juta. – KOSMO! ONLINE