KUALA LUMPUR, 5 Februari – Penempatan Unit Transformasi Masyarakat India (MITRA), kini bawah Kementerian Sumber Manusia dengan jaminan Kerajaan MADANI untuk memastikan agenda kesejahteraan, pembangunan sosial ekonomi dan mobiliti sosial masyarakat India terus dilaksanakan dengan lebih berkesan dan berimpak tinggi.
Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Ramanan Krishnan berkata, keputusan Jemaah Menteri pada 14 Januari lalu dilihat sebagai langkah strategik bagi mempertingkatkan kerjasama rentas agensi dalam merancang dan melaksanakan program pembangunan sosial ekonomi masyarakat India.
Meskipun MITRA berada bawah Kementerian Sumber Manusia, mandat asal agensi itu yang memfokuskan pembangunan masyarakat India tetap diteruskan tanpa sebarang perubahan.
“Yang penting, tiada perubahan terhadap fokus utama MITRA iaitu pembangunan sosioekonomi masyarakat India. Pada masa sama, ia turut memperkukuh tatacara urus tadbir, ketelusan dan akauntabiliti dalam pengurusan peruntukan dan program.
“Dengan cara ini, perancangan, pelaksanaan serta pemantauan program-program MITRA dapat dijalankan dengan lebih teratur, sistematik dan berkesan,” katanya.
Datuk Seri Ramanan menjawab soalan Ahli Parlimen Sabak Bernam Kalam Salan berkenaan jaminan Kerajaan bahawa penempatan MITRA bawah Kementerian Sumber Manusia yang sedia ada memikul bebanan tugas yang besar, tidak akan menjejaskan kepentingan, kebajikan serta keberkesanan pelaksanaan agenda berkaitan kaum India.
MITRA akan terus memfokuskan usaha-usaha pembangunan masyarakat India dalam aspek pendidikan, kemahiran, dan kebolehpasaran tenaga kerja.
Dalam hal ini, Kementerian Sumber Manusia melalui kerjasama yang lebih rapat dengan MITRA akan memastikan setiap program yang dilaksanakan memberi manfaat kepada rakyat secara inklusif dan berterusan.
Dengan sokongan penuh Kerajaan MADANI, MITRA bertekad untuk mempercepatkan pencapaian matlamat pembangunan masyarakat India yang lebih seimbang dan lestari, sejajar dengan aspirasi negara untuk mencipta kesejahteraan bersama.-Berita RTM
