Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR, 5 Februari – Kerajaan sedang mempertimbangkan cadangan untuk membenarkan makanan sejuk beku sebagai kategori baharu bawah program Sumbangan Asas Rahmah (SARA), sebagai sebahagian usaha penambahbaikan berterusan agar kekal selaras dengan keperluan semasa isi rumah.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, kerajaan terbuka menerima input berterusan dan sentiasa menilai senarai barangan yang dibenarkan bawah SARA bagi memastikan bantuan itu benar-benar memenuhi keperluan asas rakyat.

“Bagi pengendali kedai runcit yang ingin menjadi rakan niaga SARA, mereka kini perlu menjual sekurang-kurangnya tujuh daripada 14 kategori barangan yang ditetapkan. Ia dilonggarkan berbanding sebelum ini yang mewajibkan kesemua 14 kategori.

“Selain itu, kerajaan akan terus mengkaji dan menilai semua senarai barangan bawah SARA bagi memastikan ia kekal selaras dengan keperluan asas isi rumah. Cadangan untuk menambah kategori baru adalah baik, dan kami sedang mempertimbangkan untuk membenarkan makanan sejuk beku sebagai kategori baharu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan daripada Ahli Parlimen Sekijang, Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa di Dewan Rakyat hari ini.

Kajian lanjut masih dijalankan bagi barangan basah bagi memastikan aspek kualiti, keselamatan makanan dan perlindungan pengguna dapat dipelihara sebelum sebarang keputusan dimuktamadkan.

Antara penambahbaikan yang telah dilaksanakan termasuk kelonggaran syarat kepada kedai runcit untuk menjadi rakan niaga SARA, iaitu hanya perlu menjual sekurang-kurangnya tujuh daripada 14 kategori barangan ditetapkan, selain peluasan kategori barangan daripada 10 pada 2024 kepada 14 pada 2025.

Setakat 3 Februari, jumlah rakan niaga SARA telah meningkat kepada 10,700 buah kedai di seluruh negara berbanding hanya 700 pada tahun 2024, dengan kira-kira 3,000 daripadanya terdiri daripada peniaga kecil.

Kerajaan turut menyasarkan peningkatan bilangan kedai runcit rakan niaga sehingga 10,000 buah tahun ini, sekali gus mengurangkan anggaran jarak penerima ke kedai terdekat daripada 10 kilometer kepada tujuh kilometer.-Berita RTM