KUCHING: Sejarah penubuhan Malaysia perlu difahami secara menyeluruh oleh semua rakyat, khususnya generasi muda bagi menghidupkan semula semangat Malaysia yang sebenar berlandaskan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, berkata apa yang berlaku dalam sistem pendidikan hari ini, penekanan lebih diberikan kepada sejarah Malaya berbanding sejarah penubuhan Malaysia.
Menurutnya, perkara berkaitan MA63 dan Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC) pula tidak dimasukkan secara menyeluruh dalam silibus.
“Kekurangan pendedahan itu menyebabkan ramai tidak memahami asas pembentukan Malaysia serta semangat persefahaman yang dipersetujui oleh semua pihak ketika negara ini dibentuk.
“Sehubungan itu, semangat Malaysia perlu dihidupkan semula berpaksikan MA63, termasuk memahami kandungan perjanjian itu serta perkara-perkara yang dipersetujui tetapi masih belum dilaksanakan sepenuhnya,” katanya ketika ditemui selepas sesi Fireside Chat sempena Oxbridge Sarawak Reception and Dinner bersama alumni Universiti Cambridge dan Universiti Oxford, di sini, malam ini.
Antara perkara dikongsikan beliau bersama alumni dua universiti terkemuka dunia itu ialah sejarah penubuhan Malaysia yang masih kurang difahami ramai, termasuk dalam kalangan rakyat Malaysia sendiri.
“Masalah utama ialah apabila perkara yang sepatutnya menjadi hak negeri telah dicampuri oleh Persekutuan dan erkara inilah yang perlu kita perbetulkan melalui perbincangan.
“Sabah dan Sarawak bukan menuntut perkara baharu, sebaliknya tuntutan dibuat berdasarkan apa yang termaktub dalam MA63 dan Laporan IGC,” katanya.
Katanya lagi, usaha itu sedang diperhalusi melalui Jawatankuasa Teknikal serta majlis berkaitan yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, bersama menteri-menteri berkaitan.
“Matlamat kita ialah untuk mengembalikan hak yang sepatutnya. Jika tidak dapat dikembalikan sepenuhnya, sekurang-kurangnya kita mengharmonikan pelaksanaannya demi mengekalkan keharmonian dan perpaduan negara,” katanya.
Mengulas pandangan masih ramai Ahli Parlimen tidak memahami MA63, Fadillah berkata ia satu proses berterusan dan bergantung kepada kesediaan individu untuk memahami isu berkenaan.
“Ada yang mahu memahami dan ada juga yang tidak mahu memahami walaupun sudah dijelaskan. Daripada situ kita boleh mengenal pasti pihak yang benar-benar bersama kita.
“Kefahaman itu penting dalam menyusun strategi politik, termasuk untuk mendapatkan sokongan majoriti dua pertiga sekiranya perkara berkaitan MA63 dibawa ke Parlimen untuk kelulusan,” katanya.
Beliau turut menyentuh sistem pendidikan negara, khususnya berkaitan pengajaran sejarah penubuhan Malaysia di semua peringkat.
Menurutnya, di bawah pelan pendidikan baharu termasuk pengajian tinggi, Bahasa Melayu diwajibkan sebagai kredit tanpa mengira aliran sekolah, manakala subjek Sejarah mesti lulus sebagai syarat kemasukan ke universiti awam.
“Yang penting sekarang ialah kita meneliti kandungan silibus setiap subjek, bukan sahaja Sejarah, bagi memastikan apa yang diajar hari ini benar-benar sesuai untuk masa depan dan mampu melengkapkan anak-anak kita menghadapi cabaran akan datang,” katanya.-BH Online
