PUTRAJAYA, 20 Januari – Kanak-kanak di negara ini akan memulakan pendidikan prasekolah pada usia seawal lima tahun bermula tahun hadapan.
Manakala,ibu bapa boleh mendaftar anak secara sukarela ke Darjah Satu seawal usia 6 tahun.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bagaimanapun berkata, pelaksanaan itu tidak akan diwajibkan pada tahun pertama.
Sebaliknya ibu bapa diberikan pilihan sekiranya merasakan anak mereka masih belum bersedia.
“Pada 2027, ibu bapa boleh memilih sama ada anak mereka memasuki Tahun Satu pada usia enam atau tujuh tahun.
“Ini mencerminkan tuntutan perubahan zaman di samping mengambil kira tahap kesediaan individu,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Rancangan Pendidikan Negara (RPN) 2026–2035, di sini hari ini.
Menurut beliau, terdapat unjuran yang mencadangkan pelaksanaan inisiatif itu dilanjutkan sehingga 2029 atau 2030.
“Cadangan itu baik, namun saya yakin dengan keupayaan kementerian-kementerian terlibat, maka kita akan mempercepatkan pelaksanaannya.
“Segala-galanya akan dipercepatkan kerana negara ini mempunyai keupayaan untuk berjaya,” katanya.-Berita RTM
