KUALA LUMPUR, 17 Januari – Kerajaan akan melancarkan Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia pada 20 Januari ini sebagai rangka strategik 10 tahun bagi memperkukuhkan sistem pendidikan tinggi negara.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata inisiatif tersebut akan diluncurkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menjadi sebahagian daripada gagasan besar reformasi pendidikan negara yang merangkumi keseluruhan rantaian pendidikan bermula daripada peringkat prasekolah hingga pendidikan tinggi.
Jelasnya, inisiatif itu menekankan akses pendidikan yang lebih inklusif, bagi memastikan pelajar yang layak tidak tercicir daripada melanjutkan pengajian akibat kemiskinan atau kekangan sosioekonomi.
“Kita tidak mahu kementerian berada di satu pihak dan rakyat berada di pihak yang lain. Pendekatan kita ialah memastikan setiap permasalahan rakyat dapat ditangani, termasuk isu pelajar yang layak tetapi gagal mendapat tempat di universiti,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita sempena Perhimpunan Agung UMNO di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC), di sini, hari ini.
Tambah beliau, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) telah mengambil pelbagai langkah bagi menangani isu pengambilan pelajar, termasuk kes melibatkan calon yang berjaya tetapi tidak dapat memasuki institusi pengajian tinggi.
Datuk Seri Dr Zambry menjelaskan, inisiatif itu akan menjadi kerangka utama bagi memperkemas dasar, tadbir urus serta hala tuju pendidikan tinggi agar selari dengan perubahan landskap global dan keperluan masa depan.
“Pelan ini akan membawa satu gagasan baharu pendidikan tinggi negara, selari dengan perkembangan teknologi, pendigitalan serta keperluan pasaran pekerjaan,” katanya.
Menurut beliau, pelaksanaan inisiatif berkenaan akan melibatkan kerjasama rapat antara KPT dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bagi memastikan kesinambungan dasar yang lebih tersusun dan berkesan.
Pelancaran Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia tersebut dijangka menjadi titik tolak kepada pembaharuan menyeluruh pendidikan tinggi negara dengan penekanan terhadap akses saksama, kualiti pembelajaran dan kebolehpasaran graduan.-Berita RTM
