Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR, 17 Januari – Kementerian Luar yakin pihak berkuasa Arab Saudi akan memberikan kerjasama penuh untuk mengesan pelakon Nadia Kesuma yang dilaporkan hilang di Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Abdul Aziz, Jeddah, pada 15 Januari lepas.

Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, kerjasama erat antara pejabat Konsulat Jeneral Malaysia di Jeddah dengan pihak polis Arab Saudi akan dimanfaatkan sepenuhnya bagi membantu siasatan dan operasi pencarian.

“Kita cuba yang terbaik dan yakin pihak berkuasa, terutamanya polis Arab Saudi akan membantu dengan baik kerana mereka mempunyai kecekapan,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan di Laman Media sempena Perhimpunan Agung UMNO 2025 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini, hari ini.

Datuk Seri Mohamad turut menasihatkan keluarga mangsa bertenang sementara usaha pencarian diteruskan, memandangkan pergerakan jemaah yang ramai terutama bagi perjalanan ke Mekah.

“Kita mesti percaya akan kecekapan mereka (polis) dan minta supaya pihak keluarga bertenang, kita berusaha sebaik mungkin,” katanya.

Beliau dalam pada itu menegaskan ejen pelancongan yang menguruskan perjalanan artis tersebut untuk tidak lepas tangan dan perlu bertanggungjawab sepenuhnya, termasuk menyalurkan maklumat terperinci mengenai rombongan itu.-Berita RTM