Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

PUTRAJAYA: Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) menegaskan sebarang cadangan projek ladang penternakan babi yang baharu di Bukit Tagar, Hulu Selangor perlu menggunakan sistem moden dan mematuhi keperluan alam sekitar bagi mengelak pencemaran berleluasa.

Menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu, berkata pihaknya mengalu-alukan projek terbabit sekiranya semua syarat yang ditetapkan, dipatuhi sewajarnya.

“Ya, sebarang perpindahan ternakan (ladang babi) kena memenuhi kehendak alam sekitar. Maka kalau didapati bahawa di Bukit Tagar itu didapati lebih sesuai, maka kita di peringkat Persekutuan tidak ada masalah apa yang nak dibuat oleh kerajaan negeri itu.

“(Namun) mesti pergi kepada pemodenan untuk mengelakkan pencemaran dan kalau ianya dilakukan dengan sistem yang moden, tidak berlaku pencemaran yang berleluasa, maka kita pihak Persekutuan, pihak KPKM mengalu-alukan apa yang dilakukan di Selangor itu,” katanya pada sidang media selepas menyampaikan amanat Tahun 2026 KPKM di sini, hari ini.

Yang turut hadir, timbalannya, Datuk Chan Foong Hin dan Ketua Setiausaha KPKM, Datuk Seri Isham Ishak.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai polemik projek ladang penternakan babi yang baharu di Bukit Tagar, Hulu Selangor.

Media sebelum ini melaporkan, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari dilaporkan berkata, kerajaan negeri akan menyegerakan proses kajian Penilaian Kesan Alam Sekeliling (EIA) dan Penilaian Impak Sosial (SIA) terhadap projek ladang penternakan babi yang baharu di Bukit Tagar, Hulu Selangor.

Beliau dilaporkan berkata, pembinaan ladang ternakan baharu memerlukan kajian EIA dan berkaitan kerana berkemungkinan wujud perumahan dan penempatan, selain kesan kepada alam sekitar.

Kenyataan Menteri Besar itu susulan Sultan Selangor menitahkan kajian menyeluruh kuantiti sebenar keperluan dan permintaan daging babi khusus untuk masyarakat bukan Islam di negeri itu, selain tiada lagi penternakan babi di Kuala Langat dan peruntukan kewangan kerajaan negeri untuk operasi penternakan babi di Selangor pada masa depan.

Ketetapan itu dititah baginda ketika sesi menghadap Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur dan Pertanian negeri, Datuk Izham Hashim, dan Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Selangor, Datuk Ng Suee Lim di Istana Bukit Kayangan.-BH Online