JOHOR BAHRU, 16 Januari – Kerajaan Johor memberi jaminan bahawa kemasukan pelaburan strategik khususnya di Zon Ekonomi Khas Johor–Singapura (JS-SEZ) tidak akan menjejaskan bekalan asas rakyat termasuk air dan elektrik.
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi menegaskan, setiap pelaburan berskala besar hanya dipertimbangkan selepas melalui penilaian teknikal yang ketat bagi memastikan bekalan sedia ada kekal mencukupi dan stabil.
“Mengikut rekod Tenaga Nasional Berhad (TNB), setakat Disember lalu, bekalan elektrik di kawasan JS-SEZ berada pada tahap mencukupi dan terkawal, dengan kapasiti terpasang 3,885 megavolt ampere (MVA) dan permintaan semasa sekitar 1,272 megawatt (MW).
“Manakala bagi bekalan air pula, Ranhill SAJ melaporkan kapasiti bekalan di kawasan JS-SEZ mencecah 1,488 juta liter sehari, dengan rizab kira-kira 15 peratus bagi menjamin keselamatan bekalan,” katanya menerusi kenyataan.
Tambah beliau, kerajaan negeri bersama Kerajaan Persekutuan turut meluluskan projek ‘rezoning’ bernilai RM1.02 bilion serta merancang pembinaan loji rawatan air baharu bagi memastikan kesiapsiagaan jangka panjang sehingga tahun 2035.-Berita RTM
