Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

SANDAKAN, 15 Januari – Pengusaha produk tempatan digesa tampil lebih berani memasarkan jenama masing-masing bagi merangsang peningkatan permintaan sekali gus menambah pendapatan usahawan.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, sokongan daripada agensi berkaitan amat penting dalam membantu usahawan mengetengahkan serta memasarkan produk tempatan secara lebih meluas.

Menurut beliau, peranan agensi seperti Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) dan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) amat signifikan dalam memastikan hasil dan produk usahawan luar bandar dapat menembusi pasaran.

“Melalui LPP dan FAMA, kita harap ada jalan untuk memasarkan produk. Jika pengeluaran berlebihan di kampung tetapi tidak dipasarkan, ia tidak dapat menambah sumber pendapatan. Sebab itu pasaran amat penting,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan majlis pelancaran produk tempatan, Sambal Soqot di Sandakan.

Datuk Seri Mohamad turut menyatakan keyakinan bahawa produk tempatan yang berkualiti serta disokong dengan pengurusan pemasaran yang baik akan sentiasa mendapat permintaan dalam kalangan pengguna.-Berita RTM