Petaling Jaya, 15 Januari – Kerajaan kekal optimis Projek Sistem Transit Rapid (RTS) Link Johor Bahru-Singapura dapat disiapkan sepenuhnya menjelang Disember tahun ini sebelum dibuka kepada penumpang pada Januari 2027.
Menurut Menteri Pengangkutan Anthony Loke, kemajuan projek mengikut jadual dengan pembinaan fizikal dan infrastruktur utama hampir siap.
Ketika ini projek berada pada fasa pemasangan sistem melibatkan pelbagai komponen kritikal, termasuk sistem operasi tren dan stesen.
Ujian sistem secara menyeluruh akan dilakana dalam beberapa bulan akan datang bagi memastikan keselamatan dan kelancaran operasi.
“Fasa ujian ini sangat penting kerana tanpa ujian yang lengkap, RTS tidak boleh beroperasi. Di Johor Bahru, tren sudah pun mula diuji dan bergerak di atas landasan,” katanya dalam sidang media selepas majlis pelancaran inisiatif Belia Institut REHDA (RIYI) di Petaling Jaya.
Dalam sidang media itu, beliau turut memaklumkan kerajaan akan menggubal satu undang-undang baharu bagi membolehkan pelaksanaan konsep penempatan silang di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) antara Malaysia dan Singapura.
Cadangan berkenaan akan dibawa oleh Kementerian Dalam Negeri dan dijangka dibentangkan pada sesi Parlimen akan datang.
Melalui pelaksanaan penempatan silang, pegawai Imigresen Singapura akan ditempatkan di Stesen Bukit Chagar, manakala pegawai Imigresen Malaysia pula ditempatkan di Woodlands.
Beliau yakin rang undang-undang berkenaan dapat diluluskan tahun ini selepas melalui proses di Dewan Rakyat dan Dewan Negara.
“Ini adalah hasil kerjasama dua hala yang sangat penting bagi memastikan keberkesanan sistem RTS,” jelasnya.
Berhubung pembangunan kawasan Bukit Chagar, Anthony Loke berkata kerajaan mengambil inspirasi daripada model pembangunan berorientasikan transit (TOD) seperti di Hong Kong, dengan penekanan kepada integrasi bangunan dan laluan pejalan kaki yang saling berhubung.
“Kerajaan tidak boleh memaksa pemilik bangunan, tetapi kita menggalakkan kerjasama kerana ketersambungan yang baik akan meningkatkan nilai bangunan serta memudahkan akses ke Stesen Bukit Chagar,” katanya lagi.
Mengulas lanjut beliau berkata perbincangan termasuk perancangan kerjasama dengan pemilik bangunan utama dan MRT Corp Property (MRT PROP) telah diadakan bagi memperkukuh jaringan penghubung di kawasan tersebut.-BH Online
