Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Peletakan jawatan Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh sebagai Exco kerajaan Melaka bukan tekanan supaya UMNO menghentikan kerjasama dengan Kerajaan Perpaduan, tegas Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi. 

Timbalan Perdana Menteri merangkap Pengerusi Barisan Nasional berkata, tindakan itu sebaliknya adalah keputusan peribadi Dr Muhamad Akmal sendiri.

Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO turut menghormati keputusan Ketua Pemuda UMNO itu, selain menegaskan tiada sebarang tekanan dikenakan ke atas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau itu untuk berbuat demikian. 

“Mungkin dengan ini beliau mempunyai masa dan ruang mencukupi untuk menyantuni akar umbi. Mudah-mudahan ini menjadi peluang untuk beliau menggerakkan jentera Pemuda UMNO di seluruh negara.

“Beliau pun sudah berbincang mengenai hasrat ini bersama saya dan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, sebelum ini,” katanya yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah. 

Terdahulu, Ahmad Zahid melancarkan logo baharu Kelab UMNO Luar Negara ketika Pertemuan Khas bersama Perwakilan Pelajar Kelab UMNO Luar Negara di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur di sini, hari ini.

Dr Muhamad Akmal menerusi ucapan dasar Ketua Pemuda UMNO hari ini, mengumumkan peletakan jawatan sebagai EXCO kerajaan Melaka yang disandangnya sejak April 2023, berkuat kuasa minggu depan.

Namun, beliau berkata, akan kekal dengan jawatan Ketua Pemuda UMNO dengan keputusan itu dibuat selepas mengadakan perbincangan bersama Ahmad Zahid dan Ab Rauf.

Ditanya, keputusan Dr Muhammad Akmal itu didorong faktor emosi, Ahmad Zahid menjelaskan Ketua Pemuda itu benar-benar tahu keputusan dimuktamadkannya.

“Ini hak peribadinya dan beliau tahu apa yang dilakukannya. Ab Rauf juga maklum mengenai perancangan yang akan dilakukan beliau (Dr Muhamad Akmal) selepas ini,” katanya.

Mengulas hasrat Ketua UMNO Jasin itu untuk terus membuat serangan ke atas DAP, Ahmad Zahid berkata, beliau akan bertemu Dr Muhamad Akmal untuk berbincang mengenai perkara terbabit.

“Saya akan bertemu nanti dan ingin tahu daripada beliau sendiri. (Saya ingin tahu) beliau mahu serang siapa dalam perkara ini,” kata Ahli Parlimen Bagan Datuk itu.

Mengenai syor supaya UMNO kembali bekerjasama dalam Muafakat Nasional, Ahmad Zahid berkata, Dr Muhamad Akmal boleh mengemukakan sebarang pandangan, namun keputusannya perlu dimuktamadkan kepemimpinan parti.

“Ini cadangan dan saranan (Dr Muhamad Akmal) tetapi keputusan muktamad datang daripada kepemimpinan parti, terutama Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO.

“Beliau boleh kemukakan cadangan berkenaan dalam MKT apabila kita bermesyuarat kelak,” katanya.-BH Online