Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

PETALING JAYA, 15 Januari -Tahun 2026 menandakan fasa pelaksanaan penuh agenda pembaharuan dan pembangunan kerajaan dengan kesannya telah mula dirasai oleh isi rumah, perniagaan serta keseluruhan ekonomi.

Menurut Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, momentum ini disokong oleh pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), yang menetapkan hala tuju masa depan yang lebih berdaya tahan, bernilai tinggi dan inklusif.

“Kita kini berada pada satu detik penting dalam perjalanan Malaysia. Dua tahun kebelakangan ini menandakan peralihan signifikan dalam aspek tadbir urus dan pembangunan negara.

”Tahun 2025 merupakan tahun membentuk haluan dan komitmen, di mana hala tuju diperjelas, dasar yang berpaksikan keutamaan rakyat, serta menjadikan Ekonomi MADANI sebagi falsafah pentadbiran negara. Kini, 2026 pula merupakan tahun pelaksanaan,” katanya dalam ucaptama pada CEO Series 2026 anjuran REHDA Institute.

Tambahnya, kerajaan berperanan sebagai pemudah cara, dengan menyediakan kestabilan fiskal, inisiatif strategik seperti Program Pengaktifan dan Reformasi Syarikat Berkaitan Kerajaan (GEAR-uP), serta infrastruktur yang membolehkan perusahaan berkembang maju.

Melalui inisiatif itu, kerajaan bekerjasama dengan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan bagi menggerakkan pelaburan domestik.

”Program Pengaktifan dan Reformasi Syarikat Berkaitan Kerajaan (GEAR-uP) akan menggerakkan RM120 bilion pelaburan dalam tempoh lima tahun, bagi memastikan modal nasional digunakan secara pemangkin untuk kepentingan negara,” katanya.

Sementara itu katanya, sempena Tahun Melawat Malaysia 2026 tumpuan akan diberikan kepada pembangunan destinasi berteraskan pengalaman, termasuk usaha menghidupkan semula aset warisan.

”Berdasarkan sasaran 47 juta pelawat dan hasil pelancongan berjumlah RM329 bilion, ia mencerminkan skala peluang yang besar untuk pekerjaan, perusahaan kecil dan sederhana (PKS), serta komuniti tempatan di seluruh Malaysia,” tambahnya.-BH Online