KUALA LUMPUR, 14 Januari – Sebarang perbincangan berkaitan pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersama (UEC) perlu berpaksikan Perlembagaan Persekutuan dan Falsafah Pendidikan Kebangsaan.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan, isu UEC bukan soal perkauman atau pandangan sempit, sebaliknya berkait dengan sistem pendidikan yang tidak mendasari falsafah pendidikan kebangsaan.
“Justeru, sebarang pengiktirafan mesti berpaksikan Perlembagaan dan Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Kita hanya menuntut melalui falsafah ini bahawa penggunaan bahasa Melayu dan sejarah wajib ada sekiranya mereka mahu kerajaan mengiktiraf UEC,” katanya ketika berucap pada Konvensyen Memperkasa Pendidikan Melayu di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur.
Datuk Seri Dr Ahmad Zahid turut menekankan bahawa isu UEC melibatkan masa depan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu serta bahasa penyatu negara, bukan semata-mata soal pendidikan.-BH Online
