Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Kuala Lumpur: Kerajaan akan mula menyalurkan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) Fasa 1 Tahun 2026 bermula 20 Januari depan.

Kementerian Kewangan (MOF) dalam kenyataan berkata, bagi fasa ini, sebanyak RM1.1 bilion diperuntukkan memanfaatkan 3.7 juta isi rumah dan 1.3 juta warga emas tiada pasangan.

Menurutnya, penerima akan menerima sebanyak RM100 sehingga RM500, mengikut kategori kelayakan masing-masing.

“Selaras dengan usaha Kerajaan MADANI untuk memastikan inisiatif ini dapat mengurangkan beban kos sara hidup secara lebih berkesan, kerajaan menyusun semula pemberian STR dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) bagi tahun ini.

“Di bawah penambahbaikan ini, lebih lapan juta rakyat layak menerima bantuan SARA secara bulanan, termasuk 400,000 daripada kalangan miskin dan miskin tegar berdasarkan pangkalan data eKasih.

“Ini menjadikan SARA sebagai bentuk bantuan asas yang menyediakan sokongan berterusan kepada rakyat,” katanya, hari ini.

MOF berkata, STR pula diberikan sebagai bantuan tambahan secara suku tahunan, disasarkan kepada isi rumah dan warga emas tiada pasangan berpendapatan RM5,000 dan ke bawah sebulan, termasuk golongan miskin dan miskin tegar yang berdaftar dengan eKasih.

Katanya, pendekatan bersepadu ini memastikan bantuan bersasar dapat disalurkan secara lebih teratur, stabil dan berkesan, di samping memberi ruang kewangan tambahan pada waktu keperluan puncak seperti musim perayaan.

Dalam pada itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim merangkap Menteri Kewangan berkata, peruntukan keseluruhan STR dan SARA bagi tahun ini berjumlah RM15 bilion, kekal yang tertinggi dalam sejarah Kerajaan Persekutuan

“Kerangka Ekonomi MADANI mendambakan lantai kehidupan rakyat dinaikkan agar semua mampu berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah.

“Apakala rakyat terbela dan keperluan asas dipenuhi, nescaya siling ekonomi dapat kita naikkan bersama dengan lebih bermaya dan lestari,” katanya dalam kenyataan sama. 

Bagi mengurangkan risiko keciciran, MOF menjelaskan, permohonan baharu dan rayuan STR dibuka sepanjang tahun melalui portal rasmi https://bantuantunai.hasil.gov.my.

“Kelayakan STR adalah berdasarkan had pendapatan seperti yang ditetapkan. 

“Selaras dengan amalan terbaik bagi pelaksanaan program bantuan sosial, setiap permohonan turut melalui proses semakan dan verifikasi dengan pelbagai agensi Kerajaan bagi mengesahkan kelayakan pemohon.

“Bagi pemohon baharu, selain daripada had pendapatan, semakan berkala akan diadakan setiap suku tahunan untuk menyemak pemilikan kediaman, pemilikan kenderaan, pemilikan perniagaan, serta rekod bekerja atau menetap di luar negara,” katanya.

MOF berkata, semua pemohon bertanggungjawab memberikan maklumat yang tepat dan benar dalam permohonan mereka.

Tegas kementerian itu lagi, sekiranya didapati wujud maklumat palsu atau tidak tepat, tindakan undang-undang boleh diambil, termasuk kerajaan berhak menarik balik mana-mana bantuan yang diluluskan sekiranya berlaku ketidakpatuhan. 

“MOF mengingatkan penerima STR agar berwaspada terhadap pautan palsu dan cubaan penipuan oleh pihak tidak bertanggungjawab.

“Sebagai langkah keselamatan, MOF tidak pernah meminta maklumat peribadi melalui SMS atau WhatsApp, dan penerima disaran merujuk hanya kepada portal rasmi STR bagi sebarang maklumat terkini,” katanya.-Harian Metro