BUKIT MERTAJAM, 14 Januari -Sebanyak 4,822 kilogram minyak masak bersubsidi dirampas Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang dalam tiga serbuan di Sungai Bakap dan Butterworth.
Rampasan menerusi Op Tiris 3.0 itu melibatkan minyak masak peket satu kilogram serta minyak yang telah dipindahkan ke dalam tangki industri.
Operasi dijalankan hasil risikan selama kira-kira sebulan, dengan serbuan pertama bermula pukul 11.30 pagi semalam, diikuti dua lagi serbuan pagi tadi.
Pengarah KPDN Pulau Pinang, S. Jegan berkata, sindiket dipercayai menggunakan premis tertutup bagi memindahkan minyak masak bersubsidi ke dalam tong industri untuk tujuan penyelewengan.
“Kegiatan ini kelihatan kecil, tetapi berlaku dengan kerap dan memberi kesan serius terhadap bekalan minyak masak bersubsidi,” katanya dalam sidang media di sini.
Dalam operasi sama, dua lelaki tempatan berusia lingkungan 30-an dan 40-an ditahan bagi membantu siasatan.
Turut disita peralatan mengepam serta beberapa unit tong industri, dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM25,962.
Kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961.-BH Online
