Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR, 14 Januari Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bersama Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) terus memperkukuh kerjasama strategik dalam memastikan akses makanan sihat di sekolah, melalui pelaksanaan Panduan Pengurusan Kantin Sekolah Sihat, selain program seperti Rancangan Makanan Tambahan dan Program Hidangan Sihat di Sekolah.

Ketua Penolong Pengarah, Bahagian Pemakanan KKM, Siti Adibah Ab. Halim berkata pemantauan berterusan turut dijalankan bagi memastikan pematuhan terhadap penyediaan menu berkhasiat di kantin sekolah, termasuk pada mesin layan diri serta hidangan semasa program sekolah.

Tambahnya, makanan yang disediakan hendaklah rendah kandungan gula, garam dan lemak selaras Panduan Diet Malaysia untuk Kanak-kanak dan Remaja (MDGCA), di samping memastikan saiz sajian yang ditawarkan bersesuaian dengan keperluan pemakanan kanak-kanak.

“Pemakanan sihat bukan sahaja menyokong pertumbuhan yang optimum, malah membentuk tabiat pemakanan positif sejak usia awal. Amalan ini akan dibawa hingga dewasa dan seterusnya membantu mencegah penyakit tidak berjangkit seperti obesiti, diabetes dan hipertensi,” katanya kepada pemberita selepas menjadi tetamu program Selamat Pagi Malaysia di Kota Media, di sini hari ini.

Jelasnya, empat kriteria utama pemakanan sihat perlu dipatuhi, antaranya makanan seimbang berasaskan konsep Suku-Suku Separuh yang merangkumi sayur-sayuran, buah-buahan, sumber protein, karbohidrat dan pengambilan air kosong.

Usaha bersepadu itu bertujuan memastikan murid tidak terdedah kepada makanan tinggi gula, garam dan lemak serta makanan diproses, sekali gus menyokong kesejahteraan dan prestasi pembelajaran mereka secara menyeluruh.-Berita RTM