KUALA LUMPUR, 12 Januari – Ketua Hakim Negara, Datuk Seri Wan Ahmad Farid Wan Salleh menegaskan bahawa integriti hakim di Malaysia tetap terpelihara manakala insiden rasuah dalam institusi kehakiman adalah sangat jarang berlaku.
Jelasnya, walaupun kemungkinan wujud, kesalahan rasuah dalam kalangan hakim adalah luar biasa.
“Saya sendiri pernah meneliti kes seorang bekas Hakim Mahkamah Sesyen yang disabitkan dan dihukum kerana rasuah. Namun hampir mustahil insiden seperti ini berlaku di semua peringkat hakim, dari Mahkamah Tinggi hingga Mahkamah Persekutuan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis Perasmian Tahun Perundangan 2026 di sini hari ini.
Menurut Datuk Seri Wan Ahmad Farid, sistem kehakiman negara mempunyai mekanisme dalaman yang ketat bagi memastikan kebebasan, integriti dan ketelusan institusi tetap terjaga.
Beliau turut menekankan bahawa untuk menuduh atau menyiasat kesalahan rasuah dalam kalangan hakim, bukti yang kukuh dan prosedur yang teliti diperlukan kerana melibatkan ramai pegawai berprofil tinggi.
“Insiden rasuah dalam kalangan hakim adalah luar biasa dan rakyat boleh yakin bahawa institusi kehakiman beroperasi secara profesional demi menegakkan keadilan tanpa kompromi,” tambahnya.
Langkah terbabit diharapkan dapat mengekalkan keyakinan rakyat terhadap sistem kehakiman negara dan memastikan pentadbiran keadilan terus berintegriti.-Berita RTM
