Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

PUTRAJAYA: Semua pegawai dan anggota Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) diingatkan supaya kekal berintegriti serta tidak terjebak dalam apa juga salah guna kuasa mahupun rasuah. 

Ketua Pengarah AKPS, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain, berkata sebarang perbuatan salah laku dan rasuah mudah dirakam dan disebarkan masyarakat menerusi penggunaan serta pengaruh media sosial.

Katanya, beliau juga tidak akan berkompromi dengan sebarang perbuatan sedemikian. 

“Apa yang saya boleh ambil daripada peringatan saya semasa di Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) mahupun saya di sini adalah keperluan berubah kepada sesuatu benda yang lebih baik kerana sekiranya kita gagal untuk memastikan bahawa perubahan itu perlu maka masyarakat akan mengubah kita dan dalam konteks hari ini perubahan yang boleh dibawa oleh masyarakat secara drastik ialah melalui media sosial.

“Kita akan sentiasa mengingatkan supaya pegawai AKPS tidak terjebak dalam apa juga salah guna kuasa mahupun rasuah kerana akan sentiasa ada mata memandang,” katanya. 

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Lapor Diri Komander Pintu Masuk, di sini, hari ini. 

Pada majlis itu, tiga komander melapor diri menerima watikah latikah pelantikan Komander Pintu Masuk (KPM), Pintu Masuk KLIA Terminal 1, Mohd Safrie Zakaria; Komander Pintu Masuk (KPM), Pintu Masuk Pelabuhan Klang, Datuk Nik Ezanee Mohd Faisal, dan Komander Pintu Masuk (KPM), Pintu Masuk Pelabuhan Kuantan, Farah Azura Mohd Shargawi.-BH Online