Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

SHAH ALAM: Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) menentang keras sebarang bentuk aktiviti atau program yang bertujuan mempromosi, menyokong, dan menormalisasikan gaya hidup songsang lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT). 

Pengerusi MAIS, Datuk Salehuddin Saidin, berkata pihaknya turut memandang serius laporan media berkaitan penganjuran program yang membabitkan komuniti berkenaan yang jelas bertentangan dengan ajaran Islam.

“MAIS juga mengingatkan orang Islam agar tidak menyertai, mempromosi, menyokong atau membabitkan diri dalam apa-apa aktiviti yang boleh dikaitkan dengan normalisasi gaya hidup songsang dan LGBT. 

“Ini kerana ia bukan sahaja bercanggah dengan ajaran Islam, malah ia turut bercanggah dengan undang-undang, nilai budaya timur dan norma masyarakat di Malaysia,” katanya dalam kenyataan, hari ini. 

Beliau berkata, masyarakat Islam turut diseru agar sentiasa berpegang teguh kepada ajaran agama Islam serta tidak mudah terpengaruh dengan agenda normalisasi LGBT yang boleh meruntuhkan moral dan akhlak masyarakat Islam. 

null

Katanya, MAIS menasihatkan mereka yang sudah terjebak dengan gaya hidup songsang itu untuk kembali kepada fitrah dengan mengikuti program pemulihan yang dijalankan oleh MAIS, pihak berkuasa agama lain atau badan bukan kerajaan (NGO) yang menawarkan pemulihan yang berkaitan.

“MAIS menyatakan komitmen untuk terus bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa dan agensi Kerajaan untuk memastikan aktiviti normalisasi dan penyebaran pengaruh hidup songsang dan LGBT ini yang merosakkan masyarakat ini dapat disekat dan dicegah. 

“MAIS juga akan bersama-sama dengan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan agensi kerajaan lain untuk memperkukuh pendidikan akhlak, penyebaran dakwah dan nilai Islam serta memperkemas program pemulihan kepada masyarakat Islam sebagai suatu usaha untuk memastikan budaya songsang ini tidak lagi diamalkan di negeri ini,” katanya.

Media semalam melaporkan, kerajaan Selangor menggesa pihak berkuasa menjalankan siasatan terhadap penganjuran program Glamping With Pride di Hulu Langat, yang akan diadakan pada minggu depan.

Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan negeri Mohd Najwan Halimi berkata pihaknya tidak berkompromi dengan sebarang cubaan menyebar dan mempromosikan budaya LGBT di negeri ini.

“Kerajaan negeri tidak akan berkompromi dengan sebarang usaha bagi

menyebar dan mempromosikan budaya serta nilai songsang yang bertentangan dengan norma masyarakat,” katanya.-BH Online