Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR, 7 Januari – Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) menegaskan tidak akan berkompromi terhadap sebarang salah laku atau pelanggaran disiplin.

Ini termasuk dakwaan kemasukan individu tidak berkaitan serta aktiviti tidak bermoral di sebuah kem tentera baru-baru ini.

Panglima Tentera Udara, Jeneral Datuk Seri Muhamad Norazlan Aris, menegaskan siasatan menyeluruh sedang dijalankan dan tindakan tegas akan diambil terhadap pihak berkenaan, termasuk pemberhentian daripada perkhidmatan sekiranya bersalah.

“Saya selaku Panglima Tentera Udara berasa kesal dan menegaskan bahawa TUDM tidak akan berkompromi dengan sebarang salah laku dan pelanggaran disiplin.

“Tindakan tegas akan diambil selaras dengan peraturan dan perkhidmatan demi memelihara imej, maruah, serta profesionalisme TUDM,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau menekankan bahawa sebarang aktiviti tidak bermoral di dalam pangkalan tentera adalah dilarang sama sekali kerana ia mencemarkan imej dan maruah TUDM.

“Setiap isu berkaitan disiplin dan integriti pegawai serta anggota akan dipandang serius,” katanya.

Isnin lalu, Kementerian Pertahanan (MINDEF) mengarahkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menjalankan siasatan dalaman berhubung dakwaan kemasukan individu luar serta wujudnya aktiviti tidak bermoral di kem tentera, yang tular di media sosial sejak Ahad lepas.-Berita RTM